AZIZUL raih emas acara pecut lelaki ACC ke-40 di Korea Selatan.
Azlan Muhammad Zain


PENCAPAIAN luar biasa jaguh trek negara, Azizulhasni Awang, meraih emas ke-10 di peringkat Asia pada Kejohanan Trek Asia 2020 di Korea Selatan kelmarin, dilakar dengan penuh kesukaran.

The Pocketrocketman menerusi media sosialnya semalam berkongsi secara terperinci kejayaannya meraih emas pecut individu menewaskan Yuta Wakimoto dari Jepun dengan keputusan 2-1.

Dengan menggelarkan dirinya sebagai ‘The Man Who Refused To Be Beaten’ (individu yang enggan ditewaskan), dia memanjangkan syukur kepada Allah SWT di atas kemenangan itu.


“Termenung membisu saya di dalam bas ketika perjalanan pulang dari velodrom ke hotel yang mengambil masa sejam. Untuk makluman, acara pecut ini jauh bezanya dengan keirin. Keirin membabitkan enam pelumba, jadi taktik akan menjadi lebih rumit dan kebanyakan masa taktik kita boleh diganggu pihak lawan seperti himpitan, kepungan dan sebagainya.

Dalam keirin, pelumba boleh menggunakan taktik musuh untuk membantu taktik peribadi mereka. Sebagai contoh, mengekori lawan ke hadapan (boleh jimat tenaga) atau mengekori pecutan lawan sebelum melakukan serangan balas.

Berbeza dengan pecut, pelumba perlu berlumba ‘head to head’ atau ‘toe to toe’. Tidak ada elemen luar lain yang kita boleh gunakan untuk membantu pecutan atau pergerakan kita. Saya suka mengibaratkan pecut seperti tinju. Ya betul, kerana anda dengan lawan anda harus bergomol sesama sendiri menggunakan kudrat dan taktik yang anda ada.

Cerita perlumbaan akhir kelmarin saya cuba ringkaskan sebanyak mungkin kerana terlalu panjang untuk dikongsikan. Mungkin kalau ada rezeki saya akan terbitkan buku satu hari nanti untuk cerita secara terperinci apa yang berlaku ketika setiap perlumbaan yang saya menangi.

Saya percaya ramai yang tidak dapat bayangkan apa sebenarnya berlaku dan terlalu banyak cerita menarik yang boleh dikongsikan.

Selepas kalah tipis pada pusingan pertama, saya kehabisan tenaga dan kepenatan. Disebabkan badan yang penuh dengan asid laktik hasil daripada kerahan pecutan, saya terus ke tandas dan muntah. Shah Firdaus (Sahrom) yang kebetulan berada di tandas turut membantu saya.

Saya cuba mengawal pernafasan dan buat semua cara untuk pulih seperti biasa. Terus terlintas di benak fikiran, pertarungan kali ini adalah untuk merebut takhta juara Asia peribadi saya buat kali ke-10. Satu pencapaian yang belum pernah dicapai orang lain lagi dan paling penting itu adalah impian dan misi peribadi saya.

Saya bercakap dengan diri sendiri, memberitahu otak supaya jangan mengalah dan jangan biarkan musuh anda merampas impian berkenaan.

Perlumbaan kedua memang gila. Untuk mengelakkan kebangkitan saya, Wakimoto memecut dari awal kerana memang dia tahu saya akan mencuba sedaya upaya untuk bangkit.

Disebabkan ‘pace’ tinggi saya perlu tunggu ke selekoh terakhir untuk memotong kerana banyak faktor yang terbabit. Bila memecut bersebelahan, faktor angin (drag) akan memperlahan kayuhan kita. Selekoh juga memperlahankan pecutan dan kita perlu mengerah lebih tenaga untuk memotong dan disebabkan itulah saya cuba mengurangkan selekoh ketika memotong.

Berkayuh di luar garisan hitam juga akan menyebabkan jarak perlumbaan bertambah. Idealnya adalah untuk berkayuh di garisan hitam yang memberikan 250 meter satu pusingan. Lagi jauh dari garisan itu, lagi bertambahlah jarak perlumbaan. Oleh itu, pelumba harus menggunakan lebih banyak tenaga dan juga kuasa pecutan.

Anda semua boleh bayangkan trek balapan olahraga ataupun ketika mengelilingi Kaabah pada musim haji. Jadi, selepas mengerahkan segala kudrat yang ada, saya memenangi perlumbaan itu dan kami akan ke pusingan penentuan.

Catatan masa perlumbaan sengit itu 9.824 saat. Reaksi bagi pelumba adalah seperti cerita ‘The Mask’ kalau anda masih ingat di mana kedua-dua biji mata terkeluar, mulut terbukak luas, ‘jaw dropping’ dan lidah terkeluar habis (amat laju).

Dalam dunia pecut ini, kalau catatan masa di bawah 10saat, memang orang gila punya kerja je. Orang normal tak boleh buat. Memang saya gila, tapi waktu berlumba saja.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:30 AM