ANGGOTA penyelamat dibantu penduduk kampung menghilir sungai mencari mangsa lemas berhampiran pintu air Tanjung Sik di Kampung Charuk Kit berhampiran Balai Polis Sik, kelmarin.
Mohd Rizal Abdullah


“SUAMI ada berpesan supaya saya menjaga ibu dan ayahnya jika dia tiada ketika kami keluar makan malam baru-baru ini,” kata Norsyahida Zaharudin, 28.

Norsyahida isteri Mohamad Naim Ahmad, 28, yang lemas selepas terjatuh di sungai berhampiran pintu air Tanjung Sik di Kampung Charuk Kit berhampiran Balai Polis Sik, kelmarin.

Sepupu Mohamad Naim iaitu Mohd Faris Iqbal Hafzainizam, 16, turut dilaporkan terjatuh dan mayatnya ditemui jam 11 pagi, semalam.

Norsyahida berkata, suaminya tiba-tiba memberikan pesanan itu pada 17 Oktober lalu ketika mereka menjamu selera di kedai makan.

“Ketika itu suami baru dapat gaji, jadi dia mengajak saya makan malam.

“Ketika makan, dia tiba-tiba memberikan nasihat supaya saya menjaga ibu bapanya sekiranya dia tiada.


“Saya hanya mendengar dan tidak berasa pelik hingga dia dilaporkan terjatuh malam tadi (kelmarin),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, suaminya yang juga kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bertugas menjaga pintu air berkenaan sejak dua minggu lalu.

“Kebiasaannya, suami pulang ke rumah di Alor Setar sebelum jam 6 petang, tetapi semalam (kelmarin) dia tidak pulang seperti biasa.

“Saya juga gagal menghubunginya, jadi saya minta bantuan rakan suami mencarinya,” katanya

Ibu dua anak itu berkata, dia tergamam apabila diberitahu kereta suaminya berada di lokasi selain menemui selipar suaminya berhampiran sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Oktober 2019 @ 6:40 AM