HAQIEM Rusli


HAQIEM Rusli menepis dakwaan segelintir pihak yang menyifatkan dia sukar didekati dan sombong.

Penyanyi ini berkata, pengalaman lalu banyak mengajarnya untuk lebih bergaul dengan orang walaupun dia seorang pemalu.

“Pengalaman dan detik hitam yang pernah singgah dalam hidup saya banyak mengajar dan mendewasakan saya.

“Saya bersyukur apabila kini lebih berani dan terbuka untuk bercampur dengan orang dalam industri hiburan seperti wartawan dan rakan artis kerana enggan digelar sombong,” katanya.

Mengakui dirinya seorang yang memilih kawan, Haqiem berkata, tindakan itu disebabkan dia mahu bersama orang yang ikhlas dengannya.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang. Ada keluarga yang memantau, syarikat rakaman yang mengambil berat dan rakan yang selalu menemani.

“Rasanya semua tahu saya pernah jatuh dulu. Jadi, siapa masih bersama sejak dulu itulah yang saya akan setia dan menganggap mereka orang penting dalam hidup.

“Jangan salahkan saya jika tidak bergaul dengan ramai orang kerana memang sangat memandang kawan yang benar-benar ikhlas untuk bersama,” katanya.

Ditanya mengenai single terbaharunya berjudul Lembah Kesepian yang seakan-akan kurang mendapat tempat di hati pendengar, Haqiem berkata, dia sudah menjangkakan perkara itu.

“Saya sudah jangka sejak awal lagu itu tidak akan ‘hit’ seperti lagu sebelum ini. Ini kerana isu yang terkandung dalam lirik itu agak berat apabila berkisar mengenai bapa.

“Tidak dinafikan pendengar memang sukakan lagu yang menyentuh cinta dan kehidupan. Walaupun lagu ini kurang mendapat sambutan, saya bersyukur kerana menerima komen yang baik daripada peminat,” katanya

Menurut penyanyi lagu Tergantung Sepi ini, dia tak ambil hati atau kecewa apabila lagu terbabit tidak popular di stesen radio.

“Saya okey dan tidak kisah dengan sambutan lagu ini. Saya terima dengan lapang dada asalkan mesej dan nasihat dalam lagu ini sampai kepada pendengar.

“Saya lebih gemar berfikir positif daripada kusutkan kepala. Memang lumrah ada lagu yang boleh popular dan sebaliknya. Sebagai penyanyi dan penghibur, kita janganlah berhenti mencari lagu yang terbaik,” katanya.

Haqiem juga bakal tampil dengan lagu pop tahun depan sebagai percaturan seterusnya.

“Sebelum ini peminat mendengar saya membawakan lagu rock balada tapi kali ini saya cuba benda baharu.

“Jika sebelum ini lagu yang dibawakan bernada tinggi, kali ini saya lihat peminat mahu saya membawakan lagu lebih santai dan ‘catchy’,” katanya.

Sementara itu, Haqiem mengakui terharu dengan sambutan luar biasa peminat ketika membuat persembahan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, baru-baru ini.

“Saya terkejut dengan sambutan penonton yang hadir. Satu angka yang luar biasa dan amat terharu kerana masih menerima kehadiran saya dalam industri muzik.

“Saya akan cuba memberikan persembahan terbaik dalam setiap lagu yang dibawakan. Terima kasih kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong perjalanan seni saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:00 AM