BARANG bukti kes dibawa masuk ke mahkamah, semalam.
Murni Wan Omar


Mahkamah Tinggi di sini, diberitahu bahawa tuduhan pecah amanah jenayah tidak terpakai kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia berikutan anak guamnya itu tidak mempunyai penguasaan dalam SRC International Sdn Bhd (SRC).

Beliau berkata demikian ketika berhujah pada akhir kes pendakwaan dalam kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dihadapi Najib, 66.

“Pihak pendakwaan sepatutnya membuktikan bahawa rancangan itu dibuat oleh Najib beberapa tahun lebih awal. Hanya selepas itu, tuduhan mengikut Seksyen 409, Kanun Keseksaan boleh diguna pakai.

“Perlu dibuktikan bahawa ada ‘tangan’ Najib dalam perancangan ini, tetapi dalam kes ini tiada dibuktikan. Beban pembuktian dalam kes pecah amanah jenayah adalah individu itu ada meng-
ambil hak milik terhadap sesuatu,” katanya.

Muhammad Shafee berkata, dalam kes pengubahan wang haram, pihak pendakwaan perlu membuktikan kes pecah amanah terlebih dahulu dan oleh kerana semua itu tidak dapat dibuktikan, semua tuduhan juga patut digugurkan.

Beliau juga berhujah bahawa keterangan berdasarkan dengar cakap (hearsay) tidak boleh diterima masuk sebagai bukti.

“Masalah ini bukan sahaja wujud dalam kes ini, malah membabitkan kes dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Saksi hanya boleh memberi keterangan berhubung apa yang terjadi di hadapan mereka dan jika tidak, tidak boleh diterima.

“Yang Arif perlu tegas berhubung perkara ini. Ini mahkamah undang-undang bukan mahkamah penghulu yang boleh diterima pakai (keterangan) dengar cakap,” katanya.

Muhammad Shafee merujuk kepada beberapa keterangan saksi yang merujuk kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya sementara yang mewakili pihak pendakwaan, Datuk Seri V Sithambaram berhujah bahawa penerimaan wang (masuk ke dalam akaun tertuduh) adalah elemen yang perlu dibuktikan dalam kes pengubahan wang haram.

“Tuduhan pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC adalah dua perkara berbeza dan beban pembuktian juga berbeza.

“Kerugian yang diperoleh secara salah bukan elemen yang patut dibuktikan dalam kesalahan pecah amanah manakala isu penerimaan wang yang dibangkitkan pembelaan juga tidak perlu dibuktikan,” katanya.

Menurut Sithambaram, tiga kesalahan pecah amanah yang dihadapi Najib menjadi lengkap selepas pihak pendakwaan membuktikan wujud perbuatan tidak jujur oleh tertuduh.

Najib berdepan tujuh tuduhan iaitu tiga kes pecah amanah, salah guna jawatan (satu) serta tiga tuduhan berhubung pengubahan wang haram terhadap dana RM42 juta milik SRC.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali sebelum ini menetapkan 11 November untuk membuat keputusan sama ada perlu memanggil Najib untuk membela diri atau membebaskannya daripada tuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 3 hingga 4 Disember, 9 hingga 12 Disember dan 16 hingga 19 Disember depan untuk Najib membela diri jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 6:30 AM