KEADAAN motosikal berkuasa tinggi Kawasaki ZR750 yang terbabit kemalangan dengan SUV sehingga merngorbankan nyawa kanak-kanak lapan tahun. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


MURID Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) Muallim, di Slim River, maut manakala bapanya cedera selepas motosikal berkuasa tinggi dinaiki mereka terbabit kemalangan di Kilometer 375.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, hari ini.

Dalam kejadian 8.13 pagi itu, Alyaa Hana Abd Hadi, 8, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Slim River, manakala bapanya, Abd Hadi Isa, 33, yang juga guru di Maktab Rendah Sains MARA, Felda Trolak dekat sini mengalami luka-luka di badan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kemalangan membabitkan motosikal Kawasaki ZR750 dinaiki dua beranak terbabit dengan dipercayai sebuah kenderaan utuliti sukan (SUV) Honda HRV berwarna putih.

“Siasatan awal hasil daripada hasil rakaman percakapan seorang saksi lelaki berusia 36 tahun yang melihat kejadian itu memaklumkan motosikal dinaiki dua beranak itu dari arah selatan menuju utara dan berada di lorong kanan.

“Tiba-tiba datang Honda HRV yang nombor pendaftarannya tidak dapat dikenalpasti dari arah yang sama dan cuba memotong motosikal terbabit, namun berlaku perlanggaran antara kedua-dua kenderaan itu.

“Motosikal dinaiki mangsa kemudian hilang kawalan dan terbabas lalu terlanggar besi penghadang jalan sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, bapa dan anak itu kemudian dibawa ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan dan pada 8.35 pagi pihak hospital memaklumkan murid berkenaan disahkan meninggal dunia.

“Setakat ini kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal mangsa dihimpit sebuah SUV sehingga menyebabkan motosikal itu terbabas lalu terlanggar besi penghadang jalan sebelah kiri.

“Polis sudah mengambil keterangan saksi kejadian dan membuat permohonan bagi mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada PLUS selain hebahan kepada petugas lebuh raya, peronda PLUS dan agensi lain juga dibuat bagi mengenalpasti SUV yang terbabit,” katanya.

Wan Kamarul Azran berkata, motosikal mangsa hanya mengalami kerosakan calar dan akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan.

Menurutnya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 3:06 PM