PERSATUAN Haiwan Malaysia menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap lelaki yang dipercayai memberi minuman keras kepada seekor beruk.

Presidennya, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai kejadian terbabit yang didakwa berlaku di sebuah taman di Bidor, Perak.

Menurutnya, pihaknya sudah memaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut.

“Persatuan Haiwan Malaysia sudah menyerahkan segala butiran mengenai lelaki dipercayai berusia 20-an berkenaan kepada pihak berkuasa.

“Pihak kami, turut difahamkan PERHILITAN Perak sedang mengambil tindakan lanjut.

“Kami juga mahu pihak berkuasa siasat siapa pemilik beruk itu terutamanya daripada sama ada dia memiliki lesen atau tidak.

“Memelihara beruk tanpa lesen PERHILITAN adalah satu kesalahan jenayah hidupan liar di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dalam pada itu, Arie berkata, adalah satu perkara yang amat membahayakan untuk seekor beruk minum minuman keras.

“Penerimaan badan haiwan itu tak sama dengan manusia berikutan saiz. Alkohol itu akan menyebabkan kegagalan organ dalaman beruk itu sehingga boleh menyebabkan kematian mengejut.

“Kita tidak boleh menerima sebarang perilaku zalim terhadap haiwan terutamanya untuk hiburan,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 32 saat yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang dipercayai memberikan minuman keras kepada seekor beruk.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Oktober 2019 @ 5:20 PM
RAKAMAN yang tular di laman sosial. FOTO ihsan Persatuan Haiwan Malaysia
RAKAMAN yang tular di laman sosial. FOTO ihsan Persatuan Haiwan Malaysia