Tangkap layar perkongsian Nurul Erwani di IG dan keadaan terkini Ainul Mardhiah. Foto Ihsan Nurul Erwani
Fairul Asmaini Mohd Pilus


“ALHAMDULILLAH, Ainul Mardhiah kini sudah pandai senyum, sebelum ini dia hanya memerhati saja jika ada yang bermain dengannya,” kata bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24.

Menurutnya, suatu hari nanti saya dan isteri, Nurul Erwani Zaidi, 24, mahu mendengar suara dia ketawa pula.

Katanya, secara keseluruhan anaknya itu menunjukkan perkembangan positif dan semakin sihat.

Begitupun, Ahmad Safiuddin mengakui, dia sekeluarga tidak mengharapkan perkembangan anaknya itu sama seperti kanak-kanak lain tetapi cukup jika Ainul Mardhiah dapat sembuh sepenuhnya dan membesar dengan sihat.

“Ainul Mardhiah kini sudah berusia 14 bulan dan mula mempelajari beberapa perkara. Dia semakin bijak dan sudah mula berinteraksi dengan kami sekeluarga.

“Misalnya, jika kita pegang tangan Ainul ketika sedang baring, dia sendiri akan cuba tarik tangan dia untuk minta didukung.

“Selain itu, gigi Ainul juga sudah tumbuh dua batang di gusi bawah dan dia memang suka bermain dengan giginya,” katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Nurul Erwani menerusi perkongsian di Instagram (IG) berkata, dia tidak pernah menganggap Ainul Mardhiah sebagai beban sebaliknya adalah sumber kekuatan dan penguat semangatnya.

Menurutnya, dia sekeluarga turut bersyukur kerana rezeki Ainul Mardhiah tidak pernah putus dan banyak pihak yang memberi hadiah serta sumbangan kepada anaknya.

“Banyak hadiah yang diterima antaranya pakaian, tudung, aksesori, permainan, set tidur, kerusi keselamatan kanak-kanak (untuk kereta) dan banyak lagi.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan dan tidak putus-putus memberi sumbangan serta hadiah untuk Ainul Mardhiah, ” katanya.

Ainul Mardhiah sebelum ini berada di London selama lebih dua bulan sejak Ahmad Safiuddin dan Nurul Erwani membawanya ke London pada 25 Mei lalu untuk menjalani pembedahan kanser mulut ‘Germ Cell Tumor’.

Ketumbuhan seberat 200 gram di mulut bayi itu berjaya dibuang pada 10 Jun lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam di Hospital Great Ormond Street.

Pembedahan itu dilakukan oleh sekumpulan doktor pakar pelbagai bidang bersama pelatih pakar bedah Malaysia Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertanggungjawab membawa bayi itu serta ibu bapanya ke London bagi mendapatkan rawatan.

Kisah Ainul Mardhiah bukan saja mendapat perhatian rakyat Malaysia, malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut menziarahinya ketika beliau berada di United Kingdom untuk lawatan rasmi tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 3:04 PM