Farah reda dengan pemergian suami selepas mayatnya ditemui hari ini. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Farah reda dengan pemergian suami selepas mayatnya ditemui hari ini. FOTO Mohamad Azim Fitri Abd Aziz
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


“WALAUPUN sedih, saya reda dan syukur suami pergi dalam keadaan syahid kerana sedang bekerja mencari rezeki dan nafkah untuk kami sekeluarga.

“Ketika saya reda semua orang tahu saya sedih dengan pemergiannya. Sebelum ini (sebelum mayat dijumpai) saya dan anak-anak sentiasa berdoa ada keajaiban dalam operasi mencarinya.

“Masa sama saya beritahu anak-anak kena terima ketentuan Allah SWT dengan apa yang ditakdirkan.”

Itu kata Farah Ahmad, 42, isteri kepada pengarah drama dan filem Firdaus Hanif, 43, yang ditemui lemas ketika sedang memancing dekat Jambatan Gemenchur di Sungai Jelai, Kampung Mela, Lipis semalam.

Farah berkata, dia sedikit terkilan kerana sudah lebih dua bulan tidak berjumpa suaminya disebabkan kesibukan tugas masing-masing dalam bidang seni.

Farah yang juga pelakon drama berkata, sebelum ini dia dan suami yang dikenali Pitt Hanif merancang untuk bercuti bersama namun tidak dapat direalisasikan.

Katanya, dia bersama tiga anak perempuan berusia tujuh hingga 16 tahun bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan kru produksi.

“Saya dapat panggilan telefon daripada kru produksi dan terus ke lokasi petang semalam.

“Arwah tidak memaklumkan mahu keluar memancing pada kali terakhir dia menghantar pesanan menerusi aplikasi Whastapp Khamis lalu.

“Assalamualaikum nyawa-nyawa ayah. Itu pesanan terakhir yang dia hantar kepada kami sekeluarga,” katanya.

Dalam kejadian 1 tengah hari itu, Pitt yang juga anak kepada pelakon Fauziah Nawi dikatakan memancing bersama seorang lagi rakannya.

Bagaimanapun bot gentian kaca dinaiki mereka dikatakan pecah dipercayai melanggar tiang jambatan sebelum dia dihanyutkan arus sungai manakala rakannya dapat diselamatkan.

Pitt dilaporkan dalam fasa terakhir menyiapkan sesi penggambaran filem Coast Guard yang memulakan penggambaran sejak lebih dua bulan lalu.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk tindakan lanjut.

Berita berkaitan

[UPDATE] Mayat Pitt dijumpai terapung

'Pitt... maafkan mama' - Fauziah Nawi [METROTV]

'Saya masih perlukan dia'

Fauziah Nawi sabar menanti...

Pitt cuba berenang untuk selamatkan diri

[UPDATE] Radius 3km cari Pitt Hanif

'Saya tahu awak kuat Pitt' - Farah

Anak Fauziah Nawi dikhuatiri lemas

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Oktober 2019 @ 7:02 PM