Yusmizal Dolah Aling


WUJUD pihak tertentu sengaja menimbulkan persepsi tidak baik kepada pengusaha restoran Muslim di negara ini menyebabkan pandangan umum terarah kepada perkara negatif semata-mata.

Penceramah bebas, Asma Harun berkata, menerusi pengamatannya, keraguan terhadap beberapa aspek ditimbulkan seperti kebersihan dan penyediaan makanan menyebabkan isu membabitkan restoran Muslim sering menjadi tumpuan di media sosial.

“Persoalan keyakinan mengenai status halal menjadi topik hangat dalam kalangan pengguna. Saya pernah bekerja di bahagian halal sebelum letak jawatan pada 2017 dan saya tahu.

“Kita di negara ini ada berbilang bangsa, sama ada India Muslim, Melayu Muslim, Cina Muslim dan Siam Muslim. Sudah tentu ada akan menyokong sesama bangsa.

“Ada pihak sengaja jadikan isu sijil halal ini. Saya pernah tengok pusat penyembelihan yang mempunyai macam-macam masalah, jadi isu halal ini perlu dititikberatkan” katanya pada Sesi Taklimat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Petaling Jaya, hari ini.

Pada majlis anjuran Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) itu, beliau membuat permohonan maaf terbuka mengenai kenyataannya dalam klip video mendakwa sebahagian restoran mamak kotor.

“Saya datang ke sini dengan hati terbuka untuk meminta maaf di atas kesalahan saya dalam video tular baru-baru ini.

“Selepas kenal Datuk Ali (Presiden PRESMA, Datuk Jawahar Ali Taib Khan), beberapa India Muslim, saya dapati mereka begitu bersungguh-sungguh dalam kerja dakwah dan saya harap ini dapat membantu mereka,” katanya.

Video itu dirakam secara langsung ketika salah satu program membabitkan penceramah itu, tahun lalu.

Klip berkenaan menimbulkan reaksi kurang senang pengusaha restoran termasuk ahli PRESMA yang bertindak menghubunginya untuk meminta penjelasan.

Hasilnya satu pertemuan diadakan minggu lalu dan Asma meminta maaf kerana salah faham terbabit dan berharap ia tidak berpanjangan.

Lanjutan itu, PRESMA menerusi Jawahar Ali menerima permohonan maaf terbabit dan berharap isu berkenaan berakhir dengan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 10:04 PM
ASMA (tiga dari kiri) berbual dengan Jawahar Ali (tiga kanan) selepas sesi taklimat di Petaling Jaya, hari ini. FOTO Salhani Ibrahim.