Sudirman Mohd Tahir


DUA lelaki tampil memohon maaf secara terbuka sekali gus mengakui tindakan mereka memfitnah status dua anak lelaki pelakon, Rita Rudaini di Instagram dan Facebook.

Dua individu itu ialah Ahmad Najib Mat Arif, 38, yang juga pengguna akaun Instagram (IG) @ahmadsan81 dan Hafiidz Ahmad Mustaffa, 39, pengguna akaun Facebook.

Kedua-dua lelaki itu hadir dan bersemuka dengan Rita di Balai Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya, malam ini.

“Mereka hadir bersemuka dengan saya atas kesilapan mereka sendiri. Seperti yang saya mahukan, mereka kena hadir dan tampil bersemuka dengan saya.

“Melalui percakapan yang direkod, kedua-duanya mengakui kesilapan berdasarkan komen yang ditulis di akaun IG dan Facebook saya.

“Saya berharap permohonan maaf mereka ikhlas dan tidak akan buat lagi. Biar perkara ini menjadi pengajaran kepada semua,” katanya.

Bagaimanapun menurut peguam mewakili Rita, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Naya, pihaknya masih mempertimbangkan untuk membuat saman malu.

“Memandangkan perkara ini sudah menular di semua platform media sosial dan berangkai, anak guam saya akan mempertimbangkan untuk saman malu.

“Perkara ini juga memberi kesan kepada dua anak Rita apabila turut ditanya di sekolah mengenai status mereka dan isu ini.

“Sekali gus, ia mencalar imej, maruah diri dan kredibiliti Rita. Apa pun, pihak kami akan maklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Rita membuat laporan polis terhadap individu pemegang akaun @ahmadsan81 yang didakwa memfitnah status dua anak lelakinya pada 21 Oktober lalu.

Individu itu diberi tempoh bersemuka dan memohon maaf secara bersemuka dengan Rita dalam tempoh 14 hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 11:41 PM
HAFIIDZ (kanan) bersemuka dengan Rita dan peguamnya, Mohd Syakirin di Balai Polis Mutiara Damansara. FOTO Syarafiq Samad