RITA nekad terus berjuang demi maruah apatah lagi fitnah babitkan anak.
RITA nekad terus berjuang demi maruah apatah lagi fitnah babitkan anak.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


DUA individu yang tampil bersemuka dan memohon maaf secara terbuka kepada pelakon Rita Rudaini benar-benar membuka mata banyak pihak.

Bukan saja dalam kalangan warganet, tetapi golongan selebriti menyifatkan Rita seorang yang berani.

Rita berkata, apa yang dilakukan tidak terhenti setakat itu saja kerana dia akan terus berjuang apatah lagi jika fitnah dan penghinaan ditujukan kepadat kedua-dua anak lelakinya.

“Dua sudah tampil dan ada beberapa lagi akan menyusul. Ia ambil masa sedikit kerana mereka menggunakan akaun palsu.

“Bagaimanapun, pegawai penyiasat sudah memaklumkan, siasatan sudah hampir selesai.

“Saya juga sudah tidak sabar nak melihat individu di sebalik akaun palsu itu. Saya nak sangat tahu apa masalah mereka pada saya. Saya tak pernah kenal dan kacau mereka, kenapa nak fitnah saya?.

“Nak kata saya apa pun, katalah. Tapi, kalau sentuh anak, mereka takkan selamat. Saya takkan biarkan begitu saja. Anak saya sudah pandai membaca, mana nak letak harga diri mereka?,” katanya.

Rita berkata, dia juga tidak kisah turun naik mahkamah disebabkan perkara itu. Apa yang penting, maruah diri terbela.

LELAKI kedua (kanan) memohon maaf secara terbuka kepada Rita.
LELAKI kedua (kanan) memohon maaf secara terbuka kepada Rita.

“Kalau bekas suami saya boleh heret ke mahkamah, inikan pula warganet. Saya akan berjuang demi maruah diri dan atas nama anak.

“Biarlah orang nak kata saya ratu mahkamah, saya tak kisah. Saya tahu apa yang dibuat sebab ini hak saya. Negara kita ada undang-undang.

“Kalau artis lain mungkin masih beri muka pada mereka, tapi saya tidak. Kalau mereka boleh malukan saya media sosial, ini cara saya untuk ajar mereka mengenai adab,” katanya.

Menurut Rita, dia berharap akan ada lebih ramai artis untuk mengambil tindakan sama.

“Artis bukan dilahirkan untuk difitnah dan dipersenda. Artis bukan alat melepas amarah dan caci maki. Artis pun manusia biasa sama seperti warganet. Kalau apa yang diperkatakan mengenai kami tidak betul, sudah tentu kami marah. Begitu juga dengan mereka, kan?.

LELAKI kedua (kanan) memohon maaf secara terbuka kepada Rita.
LELAKI kedua (kanan) memohon maaf secara terbuka kepada Rita.

“Apa yang Jasmin Hamid dan Misha Omar buat sebelum ini satu tindakan bijak. Disebabkan itu, saya ambil langkah sama. Kalau boleh, biar ramai lagi artis akan ikut jejak kami.

“Kami mahu semua orang terutama warganet sedar dengan apa yang mereka buat. Tidak semua perkara boleh dibawa main dan dipersenda begitu saja hingga jatuh hukum fitnah. Ia sangat teruk dan memberi kesan.

“Jadi, jangan salahkan artis jika tindakan undang-undang diambil. Sepatutnya, mereka kena fikir sebelum menulis komen sebegitu,” katanya.

Rita berkata, dia berterima kasih kepada peguam, polis dan peminat yang membantu dalam mengesan dua individu itu.

“Apabila isu ini dibawa ke tengah, Allah permudahkan urusan saya. Alhamdulillah, tidak susah nak mengesan mereka. Buat pemilik akaun palsu, giliran anda akan tiba tidak lama lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:15 AM