CIAPAN yang dikongsi Siti Noor Safura di Twitter miliknya.
Alias Abd Rani


KETIKA berita kematian suami isteri akibat kemalangan pada 29 Oktober lalu dilapor media, gadis ini antara paling terkesan terutama, apabila mengenangkan nasib anak pasangan itu yang ditinggalkan.

Di akaun Twitternya, Siti Noor Safura Alias, 22, meluahkan kesedihan itu dan harapan supaya anak pasangan berkenaan, Muhammad Arfan Ziqri yang berusia 22 bulan, tabah menghadapi kehilangan.

Sesungguhnya, dia lebih memahami erti kehilangan itu kerana ketika usia sebaya Muhammad Arfan, Siti Noor Safura juga menjadi yatim-piatu disebabkan ibu bapanya meninggal dunia dalam kemalangan.

Penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu menangisi nasib Muhammad Arfan kerana pengakhiran cerita yang sama seperti dilaluinya 20 tahun lalu.

“Saya menangis kerana nasib saya sama seperti adik Arfan, kehilangan ibu bapa (Junenainah Kamarul Baharin dan bapa Alias Safie) dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Batang Kali-Ulu Yam, Selangor pada 1999.

“Mereka juga menunggang motosikal dan dalam perjalanan ke tempat kerja ketika kemalangan dengan lori. Kejadian itu menjadikan saya sebatang kara, saya anak tunggal dan yatim-piatu sama sepertinya (Muhammad Arfan).

SITI Noor Safura bersama neneknya, Sarumi ketika gradusi diplomanya, baru-baru ini. FOTO Ihsan Siti Noor Safura.

“Saya kasihankan Arfan kerana saya tahu dia rindukan kasih sayang ibu ayahnya. Dia mungkin masih terlalu kecil untuk memahami semua ini tetapi saya dewasa dan lebih emosi apabila mengenangkannya.

“Ia mengingatkan saya kembali dengan apa yang berlaku ke atas saya, yang hanya mengenal arwah ibu bapa saya melalui gambar sahaja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sepertinya yang menjadi lebih tabah dan dikelilingi ahli keluarga yang penyayang, Siti Noor Safura juga berharap Muhammad Arfan dapat membesar menjadi insan yang cekal dan kuat.

Katanya, sejak kehilangan ibu bapa, neneknya, Sarumi Sokim, 66, yang mengambil alih tanggungjawab menjaganya dan menjadi insan terpenting sehingga dia dapat melanjutkan pengajian ke universiti awam.

Dia juga bersyukur neneknya diberi kesihatan yang baik untuk menggalas tugas sebagai ibu bapanya dengan bantuan ahli keluarga lain selain dia turut terima pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga usianya 18 tahun.

Dalam tempohnya membesar, Siti Noor Safura mengaku ada ketikanya dia cemburu melihat orang lain ceria di samping ibu bapa mereka.

“Ini berlaku ketika saya di sekolah rendah dan saya cemburu melihat orang lain ada ibu bapa, kerana waktu itu saya belum faham erti takdir serta qada dan qadar Allah.

“Apabila memasuki sekolah menengah, barulah saya faham dan apabila ada yang bertanya mengenai ibu bapa, saya lebih tenang serta boleh berkongsi apa berlaku,” katanya yang kini menetap di Langkap, Perak.

Apabila terlalu rindukan ibu bapanya, gadis itu akan sedekahkan al-Fatihah buat mereka selain, berkongsi perasaan itu bersama neneknya, saudara mara atau rakan rapat.

Dia yang kini menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa berharap memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar dan dapat mengumpul wang untuk membawa neneknya menunaikan umrah atau haji di Makkah.

“Hanya itu caranya saya membalas jasa nenek yang bersusah payah menjaga saya selama ini.

“Saya juga berdoa supaya adik Arfan diberi kekuatan dan menjadi anak yang baik, membanggakan arwah ibu bapanya serta menghargai insan yang menjaganya,” katanya.

Terdahulu, perkongsian Siti Noor Safura menerima pelbagai reaksi warganet yang mendoakannya dan memberi kata-kata semangat.

Antaranya: “@Elyshatasha Stay strong girl. Al-fatihah to both of your parents, they are in a better place now.

@_alia00, Hye i dont know who u're, but i just want to say stay strong, everything happens for a reason kan? Hopefully, u & your family can get all together one day and u can 'rewind' the time.”

Muhammad Arfan Ziqri yatim piatu selepas ibu bapanya, Nurul Ashikin Kamaruddin, 27, dan Lans Koperal Muhammad Syakiran Shamsuddin, 30, meninggal dunia dalam kemalangan dengan lori di susur keluar Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur, 8.30 pagi, 29 Oktober lalu.

Kanak-kanak itu kini dalam jagaan neneknya Fauziah Dollah, 63, yang juga ibu arwah Nurul Ashikin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:00 PM