Oleh Hamzah Osman


“Anjing itu terkam dan terus menggigit kedua-dua paha saya sebaik terjatuh selepas tayar hadapan basikal dilanggar rakan yang turut ketakutan kerana dikejar haiwan itu.

“Sebelum ini, kami berdua masing-masing menunggang basikal melalui jalan kampung untuk ke padang bola berdekatan,” kata Chia Jian Bin.

Jian Bin, 12, adalah kanak-kanak yang cedera kedua-dua pahanya akibat digigit anjing dalam kejadian di Kampung Dato’ Syed Nahar pada jam 3 petang, kelmarin.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, selepas melihat darah keluar daripada pahanya, dia berdiam diri kerana bimbang haiwan itu bertindak lebih ganas menyebabkan kecederaan lebih teruk.

“Selepas beberapa minit, kebetulan ada orang kampung yang melalui kawasan itu sebelum menghalau anjing itu dan mereka membawa saya ke Klinik Kesihatan Kuah untuk rawatan.

“Selepas diberi suntikan dan kesan luka dibalut, saya dibenarkan pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Buluh Penyumpit, semalam.

Dia yang juga murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Kelibang mengakui perlu hadir ke klinik tiga kali lagi bagi membersihkan luka terbabit.

Kejadian malang menimpa kanak-kanak itu sempat dirakam seorang saksi sebelum memuat naik video berdurasi 23 saat ke laman sosial Facebook selain tular dalam aplikasi WhatsApp sejak petang kelmarin.

Bapa kanak-kanak malang itu, Chia Boon Teik, 40, berkata, sekurang-kurangnya tiga kesan gigitan anjing pada paha anaknya adalah dalam dan masih perlukan rawatan di klinik.

“Bagaimanapun, anak saya bernasib baik kerana ketika kejadian dia memakai seluar panjang, kalau seluar pendek mungkin kecederaan dialaminya lebih teruk.

“Anjing itu dipelihara penduduk dan ketika kejadian dipercayai haiwan itu terlepas dari jagaan tuannya selepas tali yang mengikat lehernya terputus,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim, berkata, pihaknya tidak menerima laporan dari mana-mana pihak berkaitan kejadian itu.

“Setakat ini, kami tidak menerima laporan dari mana-mana pihak berkenaan kejadian ini.

“Namun, penduduk perlu lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan agar perkara sama tidak berulang, sekali gus memastikan keselamatan penduduk terjamin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 8:01 AM