NUR Hidayah jiran mangsa warga emas menceritakan kejadian yang berlaku.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Suami isteri warga emas cedera disamun seorang lelaki dalam kejadian di Taman Dato Wan, Ampangan di sini, semalam.

Menceritakan kejadian, jiran Nur Hidayah Abdullah, 22, berkata dia mengetahui kejadian selepas anak mangsa datang ke rumahnya kira-kira jam 8 pagi untuk meminta bantuan.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku jam 7 pagi sebelum anak perempuan mangsa tiba di rumah itu untuk mengambil bapanya bagi menjalankan rawatan dialisis di sebuah hospital di Seremban.

“Saya segera ke rumah jiran yang mesra dipanggil atok dan wan. Apabila tiba, saya lihat atok sudah terbaring di ruang tamu dengan kesan ikatan pada tangan dan leher selain kakinya cedera.

“Manakala wan ditemui berdarah dalam bilik dengan kedua tangan terikat. Saya lihat tangan dan belakang badannya cedera dipercayai ditetak selain muka serta kaki lebam. Sebilah parang dipercayai milik suspek turut ditemui di dalam bilik berkenaan.

“Wan memberitahu suspek mengarahkannya diam dan menyerahkan barang berharga. Walaupun wan tidak melawan tetapi dia dipukul dan dicederakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Nur Hidayah berkata, suami isteri itu kemudian dibawa ambulans ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk rawatan lanjut.

Katanya, dia simpati dengan kejadian menimpa jirannya dan tidak menyangka suspek tergamak memperlakukan warga emas seperti itu.

“Kejadian samun di kawasan ini bukan kali pertama berlaku tetapi sebelum ini tidak pernah lagi mangsa dicederakan. Susulan kejadian semalam, saya sendiri trauma dan takut untuk keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintendan Mohd Rosli Ishak berkata, polis menerima laporan lelaki berusia 73 tahun dan isteri berusia 62 tahun disamun lelaki bertopeng serta bersenjata parang.

Beliau berkata, suspek melarikan wang tunai dan barang kemas milik mangsa dianggarkan berjumlah RM18,000.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan polis kini sedang giat mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 November 2019 @ 8:30 AM