‘LADANG’ berkenaan berada di bawah tempat letak kereta ini, manakala kawasan berpagar (dalam bulatan) adalah lokasi corong digunakan untuk pengudaraan serta laluan kecemasan. - Agensi
Agensi

London: Tindakan penjenayah cuba memecah masuk sebuah rumah membongkarkan terowong rahsia yang membawa ke ‘ladang’ kanabis bawah tanah dipercayai bernilai £40 juta (RM2.1 bilion).

Terowong sepanjang 21 meter itu membawa kepada lokasi rahsia di bawah premis yang pernah digunakan sebagai teater era Victoria yang kini sebuah kediaman.

Daily Mail melaporkan, lorong berkenaan bermula di bawah bilik air yang terletak di aras bawah kediaman itu yang membawa kepada ruang luas di bawah barisan bangunan yang diubah suai sebagai kedai pada 1960-an.

Binaannya yang cantik menyebabkan polis percaya sekurang-kurangnya seorang anggota geng terbabit mempunyai pengalaman dan kemahiran sebagai buruh binaan.

Polis percaya kilang haram itu mungkin beroperasi sejak sedekad lalu dengan meraih keuntungan lebih £4 juta (RM21.5 juta) setahun, kata sumber.

Susulan itu, tiga lelaki berusia antara 28 hingga 47 tahun dan seorang wanita berusia 36 tahun ditahan untuk membantu siasatan, tapi sudah dibebaskan.

Kumpulan penjenayah dipercayai memintas bekalan elektrik utama menggunakan kabel bawah tanah untuk memanaskan tanaman kanabis berkenaan.

Perkara itu terbongkar selepas penduduk di kejiranan berkenaan melaporkan cubaan pecah masuk rumah dan polis yang datang memeriksa mendapati lantai di kediaman terbabit berongga.

Menurut laporan, terowong itu dibina di bawah tandas berkenaan dengan pintu kolong yang turut ditampal jubin untuk mengaburi kewujudannya.

Terowong itu kemudian melintas di bawah tempat letak kereta peribadi di belakang kediaman berkenaan sebelum berakhir di bilik bawah tanah yang terabai itu.

Pada masa sama, corong turut dibina keluar ke kawasan letak kereta untuk tujuan pengudaraan selain menjadi laluan kecemasan.

Lokasi bawah tanah itu juga tidak boleh diakses menerusi kedai di atasnya. Bangunan berkenaan pernah digunakan sebagai teater dan dibina pada 1897 sebelum dirobohkan pada 1963 dan diubah suai menjadi kedai dan kediaman.

Sementara itu, seorang ahli perniagaan yang tinggal bersebelahan rumah berkenaan mengakui terkejut dengan penemuan itu.

“Bayangkan, selama 10 tahun lalu mereka beroperasi di sini dan kami langsung tidak menghidu apa-apa.

“Memang kadangkala saya dan isteri mendengar bunyi seperti orang menggerudi menyebabkan dinding rumah bergegar tetapi kami menyangka ia disebabkan gegaran lalu lintas di atas jalan raya berhampiran,” katanya.

Menurutnya, dia menghubungi polis selepas melihat dua lelaki cuba memecah sebuah rumah, dipercayai kerana disangka rumah yang mempunyai terowong itu, Ogos lalu, tetapi melarikan diri apabila dia bersemuka dengan mereka.

Katanya, sebulan kemudian dua lelaki itu tersilap memecah masuk rumah lain tetapi sekali lagi melarikan diri selepas dikesan kumpulan pelajar yang menghuni kediaman berkenaan.

Susulan itu, pada 1 Oktober lalu, dua lelaki berkenaan sekali lagi cuba memecah masuk sebuah rumah dan polis yang datang menyiasat menemui terowong berkenaan.


PINTU kolong di dalam tandas menuju ke terowong itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 7:00 AM