PENDUDUK menikmati pemandangan menarik kampung mereka.
KAWASAN sekitar rumah pelangi bersih dijaga penduduk.
Oleh Hazira Ahmad Zaidi


DULUNYA ia sebuah penempatan biasa, namun selepas beberapa rumah di Kampung Sungai Budor di sini, mula dicat dengan warna pelangi, ia sekali gus mengubah landskap kampung berkenaan yang kini menjadi tarikan utama pelancongan di negeri ini.

Idea menarik itu dilakukan Pertubuhan Prihatin Wanita Kelantan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), untuk mengubah kampung itu menjadi tarikan pelancong.

Penduduk, Wan Nazimah Wan Mohamad, 57, berkata, beberapa rumah penduduk di kawasan itu mula mengalami transformasi pada Mac tahun lalu bermula dengan menukar papan dinding yang uzur dan zink sehingga proses mengecat yang siap sepenuhnya pada awal Jun tahun sama.

KEHIDUPAN masyarakat berjalan seperti biasa.

“Sejak itu, pelancong dari dalam dan luar negara tidak putus-putus datang melihat dan mengambil gambar di sekitar penempatan kami dan mereka berkongsi imej pemandangan ‘fotogenik’ ini di media sosial.

“Boleh dikatakan, setiap rumah penduduk di sini sebelum ini hanya dicat biasa, namun kini dihiasi dengan pelbagai warna seperti kuning, ungu, merah dan biru,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi penduduk, Jamilah Yusoff, 57, berkata, mengikut perancangan awal, sepatutnya 150 rumah penduduk membabitkan tiga kampung dicat dengan warna pelangi, namun disebabkan beberapa kekangan termasuk faktor kewangan, hanya enam yang dapat disiapkan.

RUMAH penduduk kelihatan lebih ceria selepas dicat dengan warna pelangi.

“Bagaimanapun, ia tetap menjadi tarikan utama kepada pelancong yang berkunjung ke negeri ini
dan setiap sebulan sekali pasti ada pelancong dari luar negara termasuk Filipina, Jepun, dan China yang datang ke mari.

“Bagi rumah yang tidak sempat di cat, ada antara penduduk yang mengambil inisiatif dengan mengecat sendiri rumah mereka sedikit demi sedikit.

“Penduduk kampung mengadakan gotong-royong bagi memastikan kawasan persekitaran di penempatan kami sentiasa berada dalam keadaan bersih dan terjaga,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber MPKB-BRI, memang diakui penempatan penduduk di Kampung Sungai Budor berada dalam agenda untuk dinaik taraf sebagai tarikan pelancongan baharu di negeri ini.

“Bagaimanapun, kami terlebih dahulu akan melihat kesinambungan daripada projek yang dilakukan sebelum termasuk peruntukan diberikan,” katanya.

TEBINGAN konkrit berhampiran rumah pelangi turut dicat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 8:00 AM