GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli


DATUK empat cucu dicekup berkhalwat dengan janda di rumah di taman perumahan di Alor Setar, semalam.

Lelaki berusia 58 tahun itu dicekup sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) dalam serbuan 11.45 malam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, hasil maklumat awam yang diterima, anggotanya melakukan pemeriksaan di rumah berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki bukan mahram atau mempunyai kaitan dengan wanita yang berstatus janda berusia 50-an itu.

“Lelaki itu memberi alasan datang ke rumah itu untuk mengurut kerana sakit bahu.

“Bagaimanapun, alasan itu tidak boleh diterima disebabkan keadaan pintu rumah tertutup rapat dan mencurigakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu masuk ke rumah melalui pintu belakang dan meletakkan kenderaannya jauh dari rumah berkenaan.

Beliau berkata, pasangan itu dicekup kerana berkhalwat dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2014.

“Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Lelaki itu kemudian dijamin isterinya, manakala pasangannya dijamin keluarga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 November 2019 @ 12:31 PM
Digital NSTP Subscribe