Nur Amirah membuat permohonan maaf terbuka ketika sesi siaran langsung di Facebook miliknya pagi tadi.
Redzuan Muharam


“MOHON semua yang dimuat naik dipadam semula walaupun itu mustahil,” demikian permintaan pemilik butik pengantin, Nur Amirah Mohd Amiruddin, 26, kepada warganet.

Nur Amirah mengeluarkan kenyataan itu ketika sesi siaran langsung (Live) di Facebook (FB) miliknya hari ini.

Sesi siaran langsung berdurasi empat minit 29 saat itu diadakan wanita berkenaan bagi memohon maaf kepada semua pihak berikutan tindakannya memuat naik gambar dan mengadakan sesi fotografi bersama sekumpulan model wanita berpakaian pengantin di kawasan perkuburan bukan Islam di Batu Pahat, Johor, Ahad lalu.

Menerusi siaran langsung itu, Nur Amirah berharap tiada pihak menyalahkan model, jurugambar dan jurusolek yang terbabit dalam sesi fotografi berkenaan melainkan dirinya.

“Saya mengakui kekhilafan ini dan saya sendiri memuat naik gambar tidak sepatutnya.

“Harap perkara ini tidak dipanjangkan lagi dan tidak ada mana-mana pihak terbabit kecuali diri saya dipersalahkan kerana semua atas tanggungjawab saya.

“Terima kasih atas komen dan keprihatinan. Mohon semua pihak mengambil permohonan maaf ini secara serius dan tidak ada tindakan susulan,” katanya.

Semalam, tular di laman sosial mengenai beberapa gambar yang menunjukkan model wanita berpakaian pengantin bergambar di kawasan perkuburan bukan Islam.

Selain gambar, video sesi fotografi yang menunjukkan beberapa model wanita dengan salah seorang daripada mereka berbaring di tepi kubur ketika jurugambar merakam gambarnya.

Bagaimanapun, perkongsian gambar berkenaan mengundang kemarahan warganet yang menganggap tindakan itu keterlaluan kerana tidak menjaga sensitiviti agama Islam dan menghormati tempat persemadian penganut lain.

Berita berkaitan

Elak menjadi fitnah

'Saya silap, bukan cari publisiti'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 8:02 PM