FINN beraksi lincah bersama papan selajunya. FOTO IHSAN FAIZAL FAUZI
Redzuan Muharam


FINN Nuriman Amri baru berusia lapan tahun, namun kelincahan dan keberaniannya beraksi di gelanggang papan selaju setanding pemain profesional yang jauh lebih dewasa.

Malah, penyakit ekzema dihidapi Finn tidak menghalangnya untuk aktif dalam permainan kegemarannya itu.

Bapanya, Nuriman Amri Abd Manap, 41, berkata anak bongsunya itu mula menunjukkan minat bermain papan selaju  ketika berusia dua tahun.

Katanya, bertitik tolak dari situ, Finn aktif menjalani latihan bersama abangnya, Ian, 12, yang juga atlet papan selaju negara.

“Saya lihat kecenderungan Finn dalam permainan papan selaju sejak kecil dan minat itu mungkin timbul selepas melihat saya dan abangnya bermain.

“Melihat kesungguhannya, saya beri dia pendedahan dengan membawanya berlatih bersama Ian (anak sulung) bermula dengan teknik asas sebelum beralih kepada lain-lain 'trick' yang lebih mencabar.

“Setiap hari, Finn menghabiskan masa enam jam di gelanggang dan latihan dijalankan selepas waktu persekolahan supaya pembelajarannya tidak terganggu,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas program Kejohanan Sukan X-Games Skateboard Selangor SYR 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam, baru-baru ini.

Majlis perasmian program disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor,  Mohd Khairuddin Othman.

Dalam pada itu, Nuriman berkata, hasratnya kini adalah membawa Finn menyertai lebih banyak kejohanan di dalam dan luar negara bagi membolehkan anaknya menimba pengalaman bersaing dengan pemain daripada pelbagai latar belakang.

“Berbanding Ian, Finn nampak lebih agresif dan suka mencuba 'trick' yang dilakukan abangnya, cuma dia memerlukan lebih banyak latihan untuk memperbaiki prestasi diri.

“Salah satunya dengan menyertai pertandingan bagi menambah keyakinannya dan dilatih melakukan lebih banyak 'trick' mengikut masa ditetapkan dalam kejohanan iaitu 45 saat.

“Jika diberi peluang, saya mahu dia beraksi di kejohanan luar negara tahun depan termasuk latihan lebih konsisten perlu dilakukan berikutan berehat agak lama sebelum ini disebabkan penyakit ekzema dihadapinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:00 PM