SKUAD UiTM FC perlu bersedia hadapi pasukan gergasi sekiranya layak beraksi di Liga Super musim depan.
SKUAD UiTM FC perlu bersedia hadapi pasukan gergasi sekiranya layak beraksi di Liga Super musim depan.
Syazwan Msar


JIKA PKNS menjadi ‘feeder club’’ kepada Selangor, maka UiTM yang menghuni tangga kelima Liga Perdana musim ini, berpeluang menjadi pasukan bertaraf universiti pertama beraksi di Liga Super, musim depan.

Walaupun perkara terbabit belum diputuskan namun menurut sumber, mesyuarat bersama semua pihak terbabit sudah sebulat suara memilih UiTM menggantikan tempat PKNS untuk beraksi di Liga Super.

Beliau berkata, perkara itu sudah diketahui oleh pengurusan UiTM dan perlu bersedia bersaing dengan pasukan gergasi lain.

“Difahamkan, meskipun melanggar peraturan garis masa, permohonan Selangor untuk menjadikan PKNS FC sebagai ‘feeder club’ mereka sudah diluluskan dan PKNS FC akur dengan keputusan itu.

“Bagi menggantikan tempat PKNS, kemungkinan tiada playoff sebaliknya pasukan tangga kelima, UiTM bakal dinaikkan pangkat, sekali gus menjadi pasukan bertaraf universiti pertama bermain di Liga Super,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Mengikut kedudukan Liga Perdana, UiTM berada di tangga kelima, di belakang dua ‘feeder club’ lain iaitu Johor Darul Ta’zim ll (JDT ll) dan T-Team, manakala Sabah dan PDRM pula sudah mengesahkan tempat ke Liga Super.

Pasukan bertaraf feeder tidak layak bermain bersama skuad utama seterusnya memberi laluan kepada pasukan lain untuk dinaikkan ke Liga Super.

Sebelum ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) sebulat suara menerima penggabungan PKNS FC sebagai ‘feeder club’ bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Selain itu, FAS mengaku penggabungan berkenaan bakal memantapkan lagi struktur pentadbiran skuad Red Giants.

Penggabungan itu memberi peluang kepada semua pasukan untuk menyusun semula struktur pentadbiran bagi menjadikannya lebih efektif dan profesional selain mengurangkan jurang antara skuad Liga Super dengan pasukan Piala Presiden.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd ketika dihubungi hanya memaklumkan supaya menunggu laporan rasmi yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 6:01 AM