Skip this ad x
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus


“KAMI sekeluarga bersyukur perbicaraan itu ditangguhkan ke tahun hadapan.

“Ia membolehkan along (Hairi Muhamad) dan isteri mendapat peguam yang lebih berpengalaman bagi membantu mendapat semula hak penjagaan anak-anak mereka,” kata Hasrol Muhamad, 33.

Hasrol berkata, abang sulungnya Hairi, 42, sering menghubungi keluarga di Malaysia dan turut memaklumkan perkembangan kes itu pada Isnin lalu.

“Kami sekeluarga lega mendengar khabar penangguhan itu, tetapi ibu pada mulanya bimbang kenapa ia perlu ditangguhkan dan mahu cucu-cucunya segera di bawa pulang.

“Namun selepas diterangkan ia demi kebaikan along dan kak long (Norliha Khamis, 42) barulah ibu faham.

“Kami berdoa semoga along dan kak long akan mendapat peguam yang lebih berpengalaman bagi membantu mereka dalam kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurut Hasrol, sebelum Ramadan lalu, ibunya meminta Hairi sekeluarga supaya memakai baju raya dan menghantar gambar kepada keluarga di Malaysia.

Ini kerana Hairi sekeluarga tidak pulang ke Malaysia untuk beraya tahun ini selepas berbuat demikian tahun lalu.

“Tidak sangka, itu kali terakhir along sekeluarga bergambar bersama dan kami berharap semoga keluarga itu dapat disatukan kembali dengan segera.

“Jika tidak, biar lima anak saudara dapat dihantar pulang ke Malaysia kerana kami sekeluarga bimbang mengenai kebajikan, makan minum dan agama mereka jika dijaga keluarga bukan Islam di sana,” katanya.

Hairi dan Norliha menetap di Stord, Norway sejak 10 tahun lalu bersama lima anak mereka.

Bagaimanapun, sejak Mei lalu, Hairi yang bertugas sebagai pakar kimpalan dan isterinya hilang hak penjagaan lima anaknya berusia antara empat dan 16 tahun selepas berdepan siasatan pihak berkuasa susulan aduan dibuat seorang daripada anaknya.

Difahamkan, awal Ramadan lalu, seorang anak Hairi yang mungkin letih kerana berpuasa ditegur gurunya dan dia memaklumkan tertekan kerana berpuasa pada waktu yang lama (melebihi 12 jam).

Pasangan itu sepatutnya dibicarakan pada 4 hingga 6 November lalu, tetapi mahkamah menangguhkan ke 2020 atas permintaan Hairi yang mahu menggantikan peguam lebih berpengalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 9:00 AM