ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan mangsa dari dalam kereta Perodua Myvi yang dihempap lori pasir di susur Persiaran Kewajipan menuju Lebuhraya KESAS di Subang Jaya, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohd Azam Shah Yaacob


WANITA dan anak perempuannya maut manakala dua lagi cedera apabila lori muatan pasir seberat 24 tan menghempap sebuah Perodua Myvi dalam kemalangan di susur Persiaran Kewajipan menuju Lebuhraya Shah Alam (KESAS) di Subang Jaya, 10 pagi hari ini.

Mangsa maut dikenali sebagai Leong Mei Li, 48, dan ibunya Goh Liew Suan @ Goh Liew Swan, 70, yang duduk di bahagian penumpang Perodua Myvi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, sebuah jentera dengan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 10.04 pagi.

Katanya, sebaik tiba, pasukan berkenaan mendapati sebuah lori membawa muatan pasir terbalik dan menghempap sebuah kereta Perodua Myvi.

“Ketika itu, pasukan penyelamat mendapati pemandu lori dan pemandu Perodua Myvi bersama dua penumpangnya terperangkap dan tersepit dalam kenderaan masing-masing.

“Pemandu lori yang cedera ringan diselamatkan dalam tempoh empat minit manakala wanita yang memandu Perodua Myvi parah diselamatkan lima minit kemudian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, usaha mengeluarkan dua penumpang Perodua Myvi berkenaan mengambil masa berikutan pihak bomba terpaksa menunggu kedatangan kren bagi mengangkat lori terbabit.

Katanya, sebaik kedua-dua penumpang Perodua Myvi berjaya dikeluarkan, mangsa disahkan sudah meninggal dunia akibat parah.

“Pemandu lori serta Perodua Myvi terbabit dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 5:10 PM