X
PENCIPTA raifal AK-47, Mikhail Kalashnikov, memegang raifal AK-103 di Moscow pada 2006. FOTO AFP
PENCIPTA raifal AK-47, Mikhail Kalashnikov, memegang raifal AK-103 di Moscow pada 2006. FOTO AFP
AFP

MOSCOW: Ratusan kadet dan remaja dari Tentera Belia Russia dibawa mendekati senjata api paling ikonik dalam sejarah Russia sempena ulang tahun kelahiran Mikhail Kalashnikov yang mencipta raifal legenda AK-47.

Pengunjung, termasuk kadet muda di Muzium Kejayaan di barat Moscow, diberi peluang memasang raifal Kalashnikov dan bergambar dengan senjata api.

Pelbagai acara diadakan sempena ulang tahun ke-100 kelahiran Kalashinkov hari ini, termasuk pameran di muzium.

Kalashnikov, jurutera tentera yang meninggal dunia pada 2013 ketika berusia 94 tahun, dianggap wira negara dan simbol kebanggaan tentera.

Raifal AK ciptaannya menjadi senjata pilihan utama gerila dan kerajaan di seluruh dunia.

Pameran sehingga 20 November itu dianjurkan muzium di Izhevsk, bandar industri di pergunungan Ural, tempat Kalashnikov bekerja di kilang pemasang senjata di Izhmash sehingga beliau bersara.

Dilahirkan di Siberia pada 10 November 1919, Kalashnikov cedera dalam pertempuran dengan Nazi pada 1941 dan ketika bercuti, mendapat idea menghasilkan raifal berkenaan.

Pada 1945, prototaip pertamanya memasuki pertandingan dan rekaannya diterima untuk digunakan tentera Russia.

ANGGOTA Kadet Remaja Tentera Russia ketika melawat muzium mempamerkan raifal ikonik AK-47 di Moscow, semalam. FOTO AFP
ANGGOTA Kadet Remaja Tentera Russia ketika melawat muzium mempamerkan raifal ikonik AK-47 di Moscow, semalam. FOTO AFP

AK-47 bermaksud “Kalashnikov’s Automatik” dan sejak mula dihasilkan pada 1947, lebih 100 juta raifal itu dijual di seluruh dunia, digunakan kira-kira 50 tentera kerajaan, termasuk di Iraq dan Somalia.

Runtuhnya Soviet Union pada 1991 membuka pintu penyeludupan senjata dan raifal AK menjadi senjata pilihan utama gerila, pengganas, diktator, kumpulan samseng, malah sekolah menembak di Amerika Syarikat kerana mudah dikendali, murah dan tahan lasak.

Kalashnikov pernah berkata, dia dihantui kekesalan kerana mencipta senjata yang meragut banyak nyawa.

Dalam satu suratnya kepada seorang rakan, dia bertanya “kerana raifal saya meragut banyak nyawa, bolehkah saya dipersalahkan kerana kematian itu?”

Anak perempuannya, Nelli Kalashnikova berkata, dia membesar tanpa mengetahui kerja bapanya, termasuk sebagai pencipta raifal AK.

Meskipun menjadi legenda, wira negara dan jutaan raifalnya dijual, namun Kalashnikov yang tidak menerima keuntungan daripada senjata itu hidup sederhana di Izhevsk.

Hari ini, Russia mengeluarkan pelbagai versi raifal Kalashnikov, termasuk AK-12 dan AK-15.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 6:31 AM
Digital NSTP Subscribe