Izlaily Nurul Ain Hussein


PIHAK pendakwaan menfailkan notis rayuan, hari ini terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru yang melepas dan membebaskan jurujual wanita daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal, dua tahun lalu.

Notis rayuan itu difailkan 9.30 pagi tadi di kaunter Mahkamah Sesyen/Majistret Johor Bahru oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, Amir Nasruddin.

Turut hadir, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan Mohd Yusop Mohd Ali.

Amir ketika ditemui di perkarangan mahkamah berkata, notis rayuan itu difailkan pihaknya selepas percaya terdapatnya merit terhadap beberapa isu.

“Pendakwaan failkan notis rayuan terhadap keputusan majistret yang melepas dan membebaskan tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Kita percaya terdapatnya merit pada notis rayuan yang dibuat ini terutamanya dalam beberapa isu,” katanya.

Ditanya mengenai merit dan isu terbabit, beliau berkata, antaranya adalah soal identiti tertuduh, lokasi kejadian yang gelap dan tertuduh orang yang tidak biasa dengan laluan di lokasi terbabit.

“Majistret kata tentang identiti tertuduh itu tidak dibuktikan oleh pendakwaan, sedangkan tertuduh sendiri melalui peguam bela tidak pernah pertikai isu ini.

“Tentang dapatan menyatakan lokasi kejadian itu gelap, sedangkan kita sudah kemukakan bukti bahawa tempat itu pencahayaannya adalah cukup.

“Isu lain tentang dapatan bahawa mana-mana orang yang tidak biasa dengan laluan dilaluinya dianggap tidak bersalah, ini bukan satu benda yang tepat,” katanya.

Menurut Amir, pihaknya menafikan notis rayuan itu dibuat atas desakan pihak keluarga mangsa atau pihak lain, sebaliknya ia proses biasa terhadap sesuatu keputusan mahkamah.

“Tiada desakan mana-mana pihak. Ini adalah proses biasa. Kita failkan notis rayuan terlebih dahulu, kemudian menunggu alasan penghakiman daripada majistret.

“Selepas alasan penghakiman dikeluarkan, kita akan fail petisyen dan kemudian menunggu mahkamah untuk menetapkan tarikh bagi proses selanjutnya,” katanya.

Pada 28 Oktober lalu, Majistret Siti Hajar Ali melepas dan membebaskan, Sam Ke Ting, 24, daripada tuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal pada 18 Februari 2017.



Keputusan iti dibuat selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Berita berkaitan:

  • 'Netizen' guris hati kami
  • 'Kami kesal, terkilan'
  • Keluarga tidak dimaklumkan keputusan
  • Pemandu bebas tuduhan [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 November 2019 @ 12:47 PM
    AMIR (kiri) bersama Muhammad Syafiq (kanan) dan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Superintendan Mohd Yusop Mohd Ali berbincang selepas pihak pendakwaan menfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret. FOTO Mohd Azren Jamaludin