NUR Fariza dan potret Ben Amir yang menambat hati pelakon itu. FOTO Nur Fariza Abu Hassan.
Redzuan Muharam


ZAHIRNYA, Nur Fariza Abu Hassan bertubuh kerdil kerana menghidap penyakit jarang jumpa, Mucopolysaccharidosis Type 4 (MPS 4) sejak lahir sekali gus membataskan pergerakannya.

Namun, wanita berusia 34 tahun itu dikurniakan bakat melukis yang dimanfaatkan sepenuhnya hingga bergelar pelukis sepenuh masa sejak tiga tahun lalu.

Selain peminat karyanya, hasil seni Nur Fariza turut mendapat perhatian pelakon, Ben Amir yang menyatakan kesudian membeli potret dihasilkannya, baru-baru ini.

Tawaran itu disampaikan Ben Amir menerusi Twitter kepada adik Nur Fariza, Ahmad Faiz yang berkongsi lakaran berkenaan pada 7 November lalu.

Nur Fariza ketika dihubungi berkata, dia sangat meminati Ben Amir tetapi tidak pernah berharap pelakon popular itu akan ‘menyapanya’ terutama selepas lukisan itu dihasilkan.

NUR Fariza bersama lukisannya. FOTO Ihsan Nur Fariza Abu Hassan.

“Sebenarnya, saya tidak pernah melukis potret tetapi cuba menghasilkannya ketika mengikuti kelas bersama seorang pelukis yang datang ke rumah, baru-baru ini.

“Saya mengambil masa selama dua minggu untuk menyiapkannya kerana agak susah memandangkan teknik digunakan berbeza, selain perlu teliti untuk hasilkan karya yang nampak ‘hidup’.

“Bahagian paling sukar adalah mata dan saya hanya menjadikan gambar Ben Amir di Instagram (IG) sebagai rujukan. Tak sangka pula, selepas siap, karya itu mendapat perhatian Ben,” katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu mengakui terkejut apabila mengetahui Ben mahu membeli lukisan berkenaan kerana menyangka pelakon itu tidak perasan naskhah istimewa terbabit.

“Ini kerana dia (Ben Amir) mempunyai ramai pengikut di laman sosial dan walaupun meminatinya, saya tidak pernah meletak harapan untuk dia melihat, jauh sekali membeli hasil karya saya,” katanya.

Bercerita latar belakangnya, Nur Fariza berkata, dia adalah pelajar aliran seni ketika di sekolah dan minat mendalam dalam bidang itu mendorongnya mengikuti kelas lukisan selepas tamat persekolahan.

Katanya, kebanyakan karyanya dikongsikan di IG dan tempahan diterima daripada pengikutnya menaikkan semangat dan keyakinannya untuk berkarya lebih banyak lagi.

“Mulanya ia hanya hobi saja kerana saya malu dan kurang keyakinan diri tetapi semakin lama, minat itu bertukar menjadi kerjaya sepenuh masa.

“Tahun lalu, beberapa karya saya dipamerkan di sebuah galeri di Pelabuhan Klang, Selangor antaranya, lukisan rumah kampung, nasi lemak dan karakter daripada filem Star Wars.

“Walaupun mempunyai kekurangan diri, saya tiada masalah untuk melukis sebaliknya boleh berdikari ketika di rumah. Misi saya mahu terus berkarya dan perbaiki diri lagi,” katanya yang bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak dalam tempoh lama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 10:36 PM