NADIA dan Muizz merancang berbulan madu tahun depan.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS enam bulan disatukan dalam majlis pertunangan, kini pelakon Nadia Brian sah bergelar isteri buat Muizz Nasruddin dengan akad nikah sekali lafaz, Sabtu lalu.

Bergelar isteri tentunya membuatkan pelakon drama bersiri Lelakimu Yang Dulu ini melangkah ke satu lagi fasa berbeza dalam kehidupannya sebagai wanita.

Bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang memahami, Nadia berkongsi kisah kehidupannya sebagai isteri kepada Muizz.

“Syukur. Kedua-dua majlis akad nikah dan persandingan kami yang berlangsung Sabtu lalu berjalan lancar dan seperti dirancang.

“Saya memanjatkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan Muizz. Bagi saya, dia lelaki yang sangat memahami diri dan kerjaya saya sebagai pelakon,” katanya.

Menurut Nadia, Muizz lelaki yang mempunyai kriteria sebagai suami pilihannya.


MUIZZ dan Nadia

“Selain sentiasa memahami dan menyokong kerjaya serta minat saya, Muizz juga orang yang sangat menghormati keluarga saya,” katanya.

Muizz juga turut menitiskan air mata sebaik mereka sah sebagai pasangan suami isteri.

Bagi Nadia, air mata suaminya itu adalah bukti kesetiaannya terhadap cinta mereka.

“Apabila seseorang lelaki itu menitiskan air mata, dapat dilihat kejujuran hatinya meluahkan rasa cinta,” katanya.

Berbicara mengenai bulan madu, Nadia dan Muizz merancang melakukannya tahun depan.

“Tahun ini pun nampaknya dah nak habis. Jadi, insya-Allah pada tahun depan dan kalau diizinkan, kami akan berbulan madu sambil menunaikan ibadat umrah,” katanya.


AKAD

Ditanya mengenai perancangan keluarga, kedua-dua mereka tersenyum saat memberikan jawapan mengenai anak.

“Anak rezeki Allah dan kami serahkan semuanya kepada perancangan-Nya,” katanya.

Walaupun sudah berkahwin, Nadia tidak akan berhenti berlakon memandangkan lakonan sudah menjadi darah dagingnya sejak sekian lama.

“Muizz pun tidak meletakkan sebarang halangan untuk saya teruskan karier lakonan. Namun, saya sendiri pun sentiasa akan menjaga batas memandangkan kini bergelar isteri orang.

“Namun, apa yang boleh saya katakan, lakonan tetap akan menjadi sebahagian daripada diri saya memandangkan minat sangat mendalam dalam bidang ini,” katanya.

Majlis perkahwinan Nadia dan Muizz berlangsung dengan penuh meriah dan dihadiri beberapa selebriti terkenal tanah air antaranya, Rozita Che Wan, Hannah Delisha dan Azira Shafinaz.

Ia turut dihadiri Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 5:00 AM