AMIR hanya mengetahui Akel menyertai militan pada 2014 menerusi laporan media.
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


“SEPANJANG mengenalinya, dia memang sahabat yang baik. Tak sangka pula dia terbunuh dan saya amat terkejut,” kata penyanyi kumpulan Ukays, Amir, 50, sebaik dimaklumkan mengenai bekas pemain dram kumpulan itu, Akel Zainal, 39, yang menyertai militan Daish di Syria disahkan terbunuh awal tahun ini.

Amir ketika dihubungi berkata, dia hanya mengetahui Akel atau nama sebenarnya Wan Mohd Aquil Wan Zainal Abidin menyertai militan itu pada 2014 menerusi laporan media.

“Saya ada mengirim mesej di Facebook untuk bertanya khabar. Saya nak tahu juga kenapa dia berada di Syria, tetapi tidak dibalas.

"Saya cuba untuk memberi nasihat dan mengetahui perkembangannya tetapi kami terputus hubungan. Sepanjang perkenalan, arwah seorang tenang dan pendiam tetapi sesekali kelakar,” katanya.

Amir berkata, kali terakhir dia bertemu Akel ialah pada 2002 ketika arwah berniaga pakaian dan aksesori tentera di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Ketika itu saya sempat membeli dua helai pakaian dan berborak seperti biasa. Saya juga tak akan lupakan detik saya bergurau dan bertanya bila arwah mahu mencukur jambangnya.

“Apabila menerima berita ini, saya tak tahu nak kata apa. Saya cuma berharap arwah syahid dan dimasukkan ke syurga Allah SWT," katanya.

Menurut Amir, Akel adalah anggota generasi keempat Ukays dan terbabit dalam penghasilan album Pijar Kasmaran pada 2000.

"Saya pernah bekerjasama dua tahun dengan arwah. Apabila kami tiada jemputan persembahan pada 2002, semua anggota kumpulan membawa diri termasuk Akel," katanya.

Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan perkara itu hari ini.

Ayob berkata, berdasarkan maklumat polis, Akel serta seorang lagi militan Daish, Mohd Rafi Udin, 53, maut dalam serangan udara Rusia di Syria pada Januari dan Mac lalu.

Turut terbunuh isteri dan dua anak Akel yang berusia dua dan tiga tahun.

Berita berkaitan

Bekas pemain dram Ukays sah terbunuh

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 November 2019 @ 12:37 PM