Rudy Imran Shamsudin


SEBAIK diumumkan pembabitannya dalam program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6), namanya terus menjadi sebutan.

Bekas penyanyi kumpulan Visa, Rohisham Hashim, 47, atau lebih dikenali sebagai Sham Visa turut menjadi kegilaan bukan saja dalam kalangan gadis, tetapi isteri orang.

Semuanya berpunca selepas gambar promosi peserta GV6 disiarkan pihak penerbitan hingga membuatkan ramai terpegun dengan penampilan terbaharu penyanyi yang popular dengan lagu Dalam Gerimis dan Untukmu Selamanya itu.

Rata-rata mengatakan Sham kini jauh lebih kacak berbanding zaman mudanya dan mengaitkan wajahnya iras pelakon Hollywood, Robert Downey Jr yang popular dengan watak Tony Stark atau Iron Man dalam siri Avengers.

Disebabkan itu, ada yang menyunting dan meletakkan gambar Robert dengan wajahnya sehingga bapa kepada dua cahaya mata itu digelar Iron Man Malaysia.

Sham ketika ditemui berkata, dia benar-benar terkejut dengan sambutan hangat diberikan peminat terutama penonton setia GV6 terhadapnya sehingga ada yang sanggup meletakkan dirinya sama seperti Robert.

“Saya sebenarnya segan dan malu, tetapi kerana peminat dan penonton mahu melihat saya tampil dengan imej sedemikian setiap minggu, terpaksalah pihak produksi meminta jurusolek melakukan solekan seakan-akan imej watak Tony Stark,” katanya.

Sham akui dia juga kekok dengan perkembangan terbaharu dirinya, lebih-lebih lagi apabila ramai yang meluahkan rasa minat secara terbuka.

Sham juga sebelum ini turut mengakui sebaik mempunyai akaun di laman sosial terutama Instagram, dia menerima hampir 2,000 mesej setiap hari.

“Bukan saya tidak suka. Saya terharu dan sangat berterima kasih. Kalau hendak diikutkan siapalah saya untuk mereka minat. Apatah lagi jika dibandingkan kemampuan saya dengan peserta lain dalam GV6, mereka semua hebat-hebat.

“Namun, mereka memilih saya. Apa saja yang saya lakukan mereka tetap menyokong dan apabila ada persembahan tapi gagal melakukannya dengan baik, mereka tidak berpaling daripada saya, malah memberikan kata-kata semangat,” katanya.

Menurut Sham, dia tidak pernah terfikir selepas menghilang selama 15 tahun dia akan menyanyi semula.

Dalam tempoh itu, Sham sebenarnya langsung tidak menyanyi termasuk di depan keluarga atau pusat karaoke.

“Sekarang saya diberikan perhatian begini. Saya tidak pernah tahu memiliki aura seperti dikatakan. Saya rasa saya hanya biasa seperti juga anda di luar sana. Saya juga menjalani kehidupan seperti orang lain,” katanya.


Lelaki yang ditahan bersama rokok seludup di Jalan Persiaran Danga Perdana di Johor Bahru semalam. Foto Ihsan PGA

HAMPIR TARIK DIRI DARIPADA GV6


Sham yang juga pernah membintangi filem Debu-Debu Kasih pada 1995 turut mengakui disebabkan perubahan mendadak dalam kehidupannya itu sedikit sebanyak mempengaruhi hidup dan memberikan tekanan.

“Semuanya berlaku secara tiba-tiba. Sudah tentu saya kekok dan ada ketika ia memberikan tekanan kerana memikirkan harapan semua pihak termasuk pihak pengurusan serta peminat yang mahukan saya melakukan terbaik setiap minggu di konsert GV6.

“Saya pernah meluahkan kepada pihak pengurusan Mind Order Sdn Bhd mahu menarik diri daripada GV6. Saya tidak mahu mengecewakan semua orang terutama peminat yang banyak memberikan sokongan,” katanya.

Namun, apabila menerima kata-kata semangat daripada peminat, malah ada yang menangis tidak mahu dia mengalah terlalu awal membuatkan Sham mengubah pendirian dan cuba kembali bangkit untuk berjuang serta memberikan yang terbaik.

“Disebabkan kata-kata semangat diberikan peminat juga, walaupun tidak berapa sihat dan suara tidak ada, saya tetap tampil di GV6, Ahad lalu.

“Kalau hendak diikutkan saya sudah tidak mempunyai kekuatan. Bagaimanpun, menatap wajah peminat yang datang menyaksikan saya melakukan raptai penuh sehari sebelum konsert berlangsung dan berterusan memberikan semangat membuatkan saya jadi kuat,” katanya.

Difahamkan, selepas sidang media pada malam itu, Sham terus dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.


SHAH ALAM 07 SEPTEMBER 2019. Solekan by Nuex Rosli di di Beauty & Glam, Grand Premier Hall, Plaza Jelutong.. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR.

‘TERIMA KASIH KERANA HORMATI SAYA’


Bercerita mengenai mesej yang sering diterima di laman sosial terutama Instagram, Sham berkata, ia datang daripada pelbagai peringkat umur, jantina dan status.

“Saya percaya program GV6 adalah wadah tontonan seisi keluarga. Disebabkan itu ramai yang mengikuti saya di laman sosial datang daripada pelbagai golongan, status dan peringkat umur termasuk mereka sudah bergelar isteri orang.

“Saya berterima kasih dan menghormati status mereka sebagai isteri. Mereka juga menghormati saya yang juga sudah beristeri dan berkeluarga. Kebanyakan mesej yang dihantar kepada saya berupa kata-kata semangat atau sekadar bertanya khabar,” katanya.

Menurut Sham, setakat ini belum ada mana-mana pihak dan peminat bertindak di luar batas dengan menghantar mesej yang bukan-bukan atau boleh mengaibkan diri mereka serta dirinya.

Sham mengharapkan silaturahim terjalin antara dia dan peminat kekal begitu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:00 AM