PKNS FC akan bermain di Liga Perdana musim depan selepas menjadi skuad simpanan kepada Persatuan Bolasepak Selangor. FOTO NSTP
Syazwan Msar


PKNS dan PKNP sah bukan lagi pasukan utama apabila kedua-duanya akan menjadi skuad simpanan kepada Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkuat kuasa tahun depan.

Ini bermakna, PKNS dan PKNP akan menjadi kelab pembangunan kepada pasukan Selangor dan Perak sekali gus akan bersaing di Liga Perdana pada musim depan seperti Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Terengganu FC II (TCFC II).

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam satu kenyataan semalam berkata, kelulusan itu secara bersyarat di mana kedua-dua persatuan negeri itu harus memenuhi keperluan untuk layak sebagai pasukan simpanan termasuk aspek kewangan, transisi kontrak perlu mengikut peraturan termasuk kemudahan tempat latihan sempurna.

Menurutnya, keputusan itu dicapai Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas pengendali Liga Malaysia itu sebelum ini turut menerima permohonan daripada PKNS dan PKNP yang mengambil keputusan untuk menamatkan Perjanjian Rakan Kongsi Liga bersama MFL.

“Ahli Lembaga Pengarah MFL menerima permohonan FAS dan PAFA yang menyatakan pihak mereka memiliki pelan untuk kebaikan bola sepak khususnya bagi pembangunan pemain muda selain perbelanjaan menguruskan dua pasukan akan menjadi lebih berhemah.

“Merujuk kepada garis panduan Reserve Team Perkara 2.1, mana-mana pasukan yang ingin menubuhkan pasukan simpanan harus menghantar permohonan bertulis kepada MFL dan permohonan itu harus dihantar satu tahun sebelum permulaan musim.

“Bagaimanapun, di bawah Perkara 2.2 turut menyatakan bahawa Ahli Lembaga Pengarah MFL mempunyai budi bicara tunggal dalam membuat keputusan untuk membenarkan sesebuah pasukan mewujudkan ‘Reserve Team’ di mana ‘Parent Club’ dan ‘Reserve Team’ haruslah dimiliki pihak yang sama,” katanya, di sini.

Sebelum itu, Arena Metro melaporkan UiTM yang menghuni tangga kelima Liga Perdana mungkin menjadi pasukan bertaraf universiti pertama beraksi di Liga Super pada musim depan.

Walaupun perkara terbabit belum dimuktamadkan, menurut sumber, mesyuarat bersama pihak berkaitan sudah sebulat suara memilih UiTM menggantikan tempat PKNS untuk beraksi di Liga Super.

Selain itu, berdasarkan Peraturan Liga Malaysia Bahagian 1 Operasi Teknikal, perkara 1 (1.2) (a) mengenai penyertaan pasukan di dalam pertandingan Liga Super dan Liga Perdana, Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan wakil Liga Perdana, Sabah FA dan PDRM FA akan dinaikkan ke Liga Super musim 2020.

“Kekosongan yang ditinggalkan oleh PKNS pula akan diisi pasukan yang menduduki tangga kelima Liga Perdana musim lalu, UiTM FC,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:05 AM