RUBIAH Abdul Hamid, 55, (kanan) bersama Saadiah Sin, 58, (tengah) dan Noor Hasniza Abd Rahim, 48, membaca risalah mengenai wabak Chikungunya yang diedarkan di kedai makan mereka di Taman Tapah, Tapah.
Shamsul Kamal Amarudin


SERAMAI 71 individu dikesan menghidap penyakit Chikungunya di tiga daerah di Perak sejak 18 Oktober lalu dengan kes paling tinggi dikesan di Kampung Baru Air Kuning, daerah Batang Padang yang diisytiharkan sebagai lokasi panas wabak berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, 44 kes dikesan di daerah Batang Padang diikuti 16 kes di daerah Larut Matang Selama (LMS) dan 11 kes di daerah Kampar.

“Daripada jumlah itu, kawasan Kampung Baru Air Kuning mencatatkan jangkitan tertinggi iaitu 21 kes diikuti Pokok Assam Zon 2 daerah LMS (12 kes) manakala pekan Bidor dan Taman Tapah dalam daerah Batang Padang masing-masing lapan kes.

“Kami memandang serius kes ini tetapi menjangkakan wabak akan berakhir secara berperingkat-peringkat antara 20 hingga 25 November ini,” katanya di pejabatnya, di sini, semalam.

Sivanesan berkata, setakat semalam hanya tiga pesakit baharu dikesan iaitu di Malim Nawar dalam daerah Kampar.

Beliau berkata, penyakit Chikunguny kurang berbahaya atau boleh mengakibatkan kematian seperti jangkitan denggi walaupun ia berpunca daripada sumber sama iaitu nyamuk aedes.

Justeru, katanya, tiada keperluan untuk kerajaan negeri melakukan kuarantin terhadap mana-mana lokasi atau kawasan disebabkan wabak berkenaan.

“Tular dalam media sosial meminta orang ramai mengelak daripada mengunjungi Tapah dan Bidor dalam tempoh terdekat adalah tidak tepat.

“Sebagai contoh, di pekan Bidor yang mempunyai 5,000 penduduk, hanya ada lapan kes kumulatif (dikesan dalam tempoh 18 Oktober sehingga sekarang). Jadi adalah tidak tepat melarang orang ramai ke Bidor semata-mata kerana takutkan wabak ini,” katanya.

Menurutnya, setakat ini pihaknya menerusi Jabatan Kesihatan negeri mendapat kerjasama yang baik daripada agensi kerajaan lain dan penduduk dalam usaha menangani serta membendung wabak berkenaan.

Dia memberitahu 50 penduduk secara sukarela mengambil bahagian dalam program gotong-royong yang dilaksanakan pihaknya di satu daripada lokasi terbabit pada Sabtu lalu.

“Sama seperti jangkitan denggi, kakitangan Jabatan Kesihatan menghadapi masalah untuk memasuki premis tiada penghuni, berkunci dan tidak dijaga dengan bersih hingga timbul wabak denggi serta Chikungunya.

“Isu ini bukan saja berlaku di Perak tetapi juga seluruh negara yang mana pemilik rumah boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak kerajaan memasuki premis mereka dengan alasan menceroboh,” katanya.

Ketika ini, pihaknya mengkaji untuk menggubal undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) yang membenarkan pegawai kerajaan memasuki sesuatu premis tanpa perlu kebenaran pemilik jika ia membabitkan keselamatan awam.

“Buat masa ini, saya mengarahkan pegawai kesihatan untuk masuk saja mana-mana premis yang dikenal pasti menjadi punca wabak jangkitan denggi dan Chikungunya.

“Jika pemilik mengambil tindakan undang-undang, kerajaan akan membela mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:15 AM