PEGAWAI Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak memeriksa mesin yang meletup. FOTO IHSAN PEMBACA DAN JKKP PERAK
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


SEORANG penyelia kilang melecur daripada bahagian perut hingga kepala akibat disambar api susulan letupan berlaku ketika melakukan kerja membaiki mesin menggunakan alat pencanai di sebuah kilang memproses gas acetylene di Kawasan Perusahaan Kamunting di sini, jam 1 tengah hari kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Mohamad Razif Jamil, 40, sedang dirawat di Hospital Taiping dilaporkan masih belum sedarkan diri.

Mohamad Razif, berasal dari Tebuk Haji Dollah, Simpang Empat, Semanggol, Bagan Serai yang ditemui rakan sekerjanya dalam keadaan masih sedarkan diri dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun setakat ini pihaknya belum menerima laporan daripada mana-mana pihak termasuk majikan mangsa.


PENYELIA melecur separuh badan selepas disambar api semasa melakukan kerja pembaikan mesin di kilang. FOTO IHSAN PEMBACA DAN JKKP PERAK

Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof berkata, hasil siasatan dijalankan kejadian berlaku ketika mangsa sedang menggunakan mesin pencanai untuk mencanai permukaan pada ruang bukaan ‘turn bin’.

“Semasa mencanai berlaku letupan kerana ada saki baki karbait dalam turn bin dan mangsa disambar api yang terhasil susulan letupan.

“Hasil siasatan itu kami mengeluarkan empat notis pembaikan kepada pihak majikan kerana kegagalan penyediaan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko yang lengkap,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, JKKP Perak juga akan mengambil tindakan perundangan terhadap pihak yang bertanggungjawab jika wujud perlanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 6:20 AM