PELAJAR terbabit kerap mengelap cermin matanya yang kabur. (Gambar kanan) Cermin mata lama dipakai rakan Mohamad Haikal.
Alias Abd Rani


NILAINYA tidaklah sebesar mana, namun atas nama tali persahabatan, seorang pelajar tingkatan lima melancarkan kutipan untuk membantu menggantikan cermin mata lama rakannya yang juga anak yatim, baru-baru ini.

Mohamad Haikal Ahad, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenggaroh, Mersing, melakukan perkara itu berikutan rakannya itu dilihat kerap mengelap cermin mata sudah kabur.

Ditambah pula mereka sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menjadi keperluan bagi rakannya itu mendapatkan cermin mata baru, sekali gus memudahkan dia menjawab soalan.

Menurut Mohamad Haikal, dia mengenali rakannya sejak kecil, namun mereka tidak pernah belajar sama kelas atas sebab-sebab tertentu.

“Ibunya sudah meninggal dunia akibat kemalangan tahun lalu dan dia tinggal bersama bapa saudaranya yang bekerja sebagai tukang pasang kanopi.

“Pada Isnin lalu, kami ada kelas tambahan Pendidikan Islam, dia ada bersama dan duduk sebelah saya. Saya terpandang cermin mata dia agak usang lalu minta izin untuk memeriksa.

“Bila saya pakai, memang uzur dan mungkin sudah lama tidak diganti. Dalam hati, terdetik bagaimana dia nak jawab peperiksaan jika cermin mata kabur,” katanya ketika dihubungi.

Kisah itu mula tular selepas Mohamad Haikal memuat naik status menerusi Twitter hingga mendapat lebih 12,000 ulang ciap serta 8,000 tanda suka.

Menerusi hantaran itu, Mohamad Haikal menulis: “Ini kawan aku daripada kecik, tapi tak pernah sekelas sebab dia ada masalah mengingat. so, daripada sekolah rendah dia duduk kelas belakang.

“This year dia SPM, same goes to me. tapi masalahnya, spec dia macam dah tak function. cer tengok kat gambar.”

Katanya, tanpa pengetahuan rakannya itu, dia mendapatkan bantuan menerusi Twitter dan akhirnya berjaya mengumpul dana RM1,700.

“Jumlah kutipan itu digunakan untuk menggantikan cermin mata baru, manakala baki diserahkan kepadanya untuk perbelanjaan harian.

“Saya lakukan ini kerana simpati terhadapnya memandangkan dia dari keluarga susah. Lagipun, saya nampak dia kerap mengelap cermin mata disebabkan tahap penglihatannya semakin kurang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 November 2019 @ 9:00 PM