TAN CHENG HOE
Firdaus Hashim


SITUASI sukar bakal dihadapi pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe apabila masalah kecederaan dan penggantungan yang membelenggu beberapa pemain utama menjadi perkara yang perlu difikirkannya menjelang pertemuan menentang Indonesia pada kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Penyerang, Syafiq Ahmad dan tonggak pertahanan, Matthew Davies digantung susulan menerima dua kad kuning ketika menentang Vietnam dan Thailand manakala Syahmi Safari pula cedera otot ketika mengalahkan skuad Gajah Perang, Khamis lalu.

Seandainya Syahmi tidak sempat pulih, Cheng Hoe terpaksa merombak pasukannya dan memandangkan Davies dan Syahmi berkongsi posisi, beliau terpaksa mencari pengganti dari kalangan pemain dalam senarai menunggu.

Berdasarkan senarai sebelum ini, pemain Kedah, Rizal Ghazali adalah calon pengganti kepada Davies dan Syahmi manakala penyerang Perak, Shahrel Fikri adalah antara pemain yang mampu diserapkan kembali untuk mengisi ketiadaan Syafiq.

“Buat masa ini barisan kejurulatihan tidak tergesa-gesa untuk mencari pengganti memandangkan kami masih ada lagi pilihan pemain yang boleh mengisi posisi terbabit. Apa yang penting pemain perlu bersedia dalam apa juga keadaan. Tapi kalau kita nak panggil pemain dalam senarai menunggu tidak ada masalah, namun saya akan putuskan lagi sehari dua ini,” katanya kepada Arena Metro.

Bagaimanapun, beliau berkata, risiko memanggil pemain baharu bagi kekosongan itu tetap ada kerana tindakan itu berkemungkinan memakan diri jika mengambil kira faktor kecergasan.

“Mungkin masalah dan kebimbangan ketika ini adalah mengenai tahap kecergasan di mana sebagai jurulatih sudah tentu saya nak pemain kebangsaan bersedia dari segi mental dan fizikal. Kita tak mahu pemain ditekan untuk mencari kecergasan,” katanya.

Skuad negara ketika ini berada pada landasan tepat untuk meneruskan momentum kemenangan selepas meraih keputusan positif apabila mengejutkan Thailand 2-1, Khamis lalu.

Malaysia memungut enam mata untuk menduduki tangga keempat Kumpulan G sambil Vietnam gah mengungguli carta dengan 10 mata diikuti Thailand (tujuh), UAE (enam) dan Indonesia di kedudukan tercorot.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:00 AM