MOHD Hamizar dan Noreza menunjukkan gambar terakhir Muhammad Haiqal ketika membantu gelandangan di ibu kota.
Amirul Aiman Hamsuddin


PERJALANAN pulang tiga sahabat selepas membantu gelandangan di ibu kota berakhir tragedi apabila seorang daripadanya maut di Kilometer 19.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) arah Selayang ke Kuala Selangor, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa yang juga penumpang hadapan, Muhammad Haiqal Mohd Hamizar, 22, maut selepas tercampak keluar dari kereta Mitsubishi Lancer yang sebelum itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Manakala, pemandu, Muhammad Zuhairi Shuhaimi, 24, dan penumpang belakang, Fakrul Fahim Khairu Anuar, 22, cedera ringan dan dirawat di Hospital Selayang.

Bapa mangsa yang juga Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Air Tawar, Mohd Hamizar Sulaiman, 49, berkata, dia menerima berita kemalangan itu daripada isterinya, Noreza Malek, 50, jam 4.20 petang.

FOTO terakhir Muhammad Haiqal.

“Ketiga-tiga mereka dalam perjalanan pulang ke Sungai Besar selepas selesai membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur.

“Arwah (Haiqal) suka bantu orang susah. Dia tidak lokek habiskan tenaga dan masa ke arah itu kerana ia sebati dalam dirinya,” katanya di rumahnya di Taman Purnama 2, Sungai Besar di sini, semalam.

Mohd Hamizar berkata, anak kedua daripada lima beradik itu memaklumkan kepadanya dan Noreza mengenai aktiviti membantu gelandangan seminggu sebelum kejadian berlaku.

“Arwah cakap, ‘Ayah tak nak menyumbang ke? Haiqal buat aktiviti bersama kawan nak sedekah pada gelandangan di Kuala Lumpur’.

“Malah, sebelum dia pergi, saya beri RM500 untuk aktiviti itu.

“Alhamdulilah, apabila kami tengok video arwah membantu gelandangan di laman sosial, kami bersyukur perkara itu dilaksanakan dan reda dengan pemergiannya,” katanya.

KENDERAAN dinaiki mangsa.

Sementara itu, Noreza berkata, Haiqal anak periang selain mesra dengan keluarga serta rakan.

“Apabila kami tiba di hospital, saya lihat ratusan anak muda yang pernah arwah bantu berkumpul untuk menguruskan jenazah sehingga mengiringinya ke rumah.

“Malah, kenderaan jenazah juga diuruskan mereka. Saya amat terharu dan bersyukur mereka tetap bersama meskipun arwah sudah tiada,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau, di sini, jam 10.15 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 November 2019 @ 6:05 AM