SABRINA reda sekiranya kaki kirinya terpaksa dipotong. (Gambar kanan) Keadaan kaki kiri Sabrina yang semakin membengkak. FOTO Sabrina Md Isa.
Redzuan Muharam


“SAYA reda jika kaki dipotong kerana sudah sembilan tahun menanggung kesakitan ini,” kata ibu lima anak, Sabrina Md Isa.

Sabrina, 39, memberi reaksi itu ketika ditanya perasaannya jika kaki kirinya terpaksa dipotong berikutan kecederaan serius dialami sejak terbabit dalam kemalangan ketika menunggang motosikal pada 2010.

Kisah Sabrina tular di laman sosial selepas wanita berkenaan memuat naik hantaran di Facebook mengenai pengalamannya yang terpaksa ke hospital bersama suami dan anak kecil untuk menjalani pemeriksaan dengan kaki membengkak.

Menerusi hantaran sama, Sabrina turut memohon sumbangan untuk meringankan bebannya dan suami, Mohd Faizal Rahimi, 33, bagi menampung keperluan anak serta tambang ke hospital.

Perkongsian itu mendapat perhatian warganet yang rata-ratanya mendoakan dan meluahkan hasrat untuk menghulurkan sumbangan kerana simpati dengan nasib wanita berkenaan.

Sabrina yang berstatus orang kurang upaya (OKU) berkata, dia berkongsi kisahnya di Facebook kerana mengalami kesempitan wang sejak suaminya hilang pekerjaan kira-kira sebulan lalu.

“Buat masa ini, saya bergantung sepenuhnya dengan bantuan bulanan sebanyak RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wang itulah yang digunakan untuk membeli keperluan seperti makanan, sewa rumah serta tambang untuk ke hospital.

“Namun, jumlah itu memang tidak mencukupi kerana suami saya tidak lagi bekerja selepas hilang pekerjaan di kilang besi.

“Saya tidak dapat bekerja kerana masalah kaki, jadi terpaksa memohon sumbangan orang ramai walaupun berat hati untuk berbuat demikian.

“Ramai yang menyumbang, tetapi ada juga menyangka saya dalang sindiket penipuan (scammer) hingga terpaksa meyakinkan mereka dengan memuat naik gambar kad OKU di Facebook sebagai bukti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan keadaannya, Sabrina yang menetap di Taman Bersatu, Alor Setar, Kedah, berkata, dia pernah menjalani pembedahan plastik pada bahagian kakinya yang parah selepas terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, pembedahan itu berjaya dilaksanakan, tetapi jangkitan kuman menyebabkan tapak kaki kirinya membengkak dan bernanah kerana luka tidak sembuh.

“Buat masa ini, saya berjalan dengan bantuan tongkat dan terpaksa memakai stokin tebal serta selipar atau kasut lembut untuk keselesaan.

“Namun, kaki saya tetap sakit setiap kali berjalan kerana luka berkenaan dan skru yang terdapat di dalamnya.

“Disebabkan tidak tahan, saya ke hospital kelmarin untuk pemeriksaan, tetapi doktor tidak dapat berbuat apa-apa kerana bimbang keadaan jadi lebih serius,” katanya.

Sabrina berkata, kesnya dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kota Bharu dan dia kemungkinan perlu menjalani pembedahan menyebabkan kaki dipotong jika keadaan serius, tetapi belum ada keputusan muktamad lagi berhubung perkara itu.

Katanya, dia berdoa sesuatu yang terbaik, tetapi akur jika terpaksa menggunakan kaki palsu selepas ini.

Orang ramai yang berhasrat membantu Sabrina boleh menghulurkan sumbangan kepada Tabung Media Prima-NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) menerusi akaun Affin Islamic Bank bernombor 105280004378 atau Maybank di nombor 514271655386.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 November 2019 @ 9:00 PM