Syazwan Msar


AKSI menentang Indonesia dalam saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 begitu penting untuk Harimau Malaya kerana keputusan positif bukan saja akan mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya malah ia juga boleh dijadikan hadiah sebagai penutup kalendar 2019.

Itu yang menjadi antara fokus pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe yang menuntut anak buahnya lebih bersedia walaupun sedar Sang Garuda tampil dengan matlamat mahu tumbangkan Malaysia di depan penyokong sendiri.

Cheng Hoe berkata, walaupun Malaysia diletakkan sebagai pilihan untuk menang apatah lagi Indonesia dikatakan berada dalam keadaan tidak menentu susulan pemecatan ketua jurulatihnya, Simon McMenemy namun ia bukan alasan untuk memandang remeh kekuatan lawan.


SHAHRUL (dua dari kanan) bersalaman bersama Yanto ketika sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. Turut hadir, Cheng Hoe (kanan) dan Yeyen. FOTO Bernama

“Indonesia sekarang ini dipimpin jurulatih baharu iaitu Yeyen Tumena. Sudah pasti beliau akan memastikan persiapan anak buahnya berada pada tahap optimum. Beliau dan pasukannya mahu menang.

“Seperti yang kita ketahui, Indonesia berdepan pelbagai masalah sebelum ini termasuk jurulatihnya dipecat dan kita boleh nampak Garuda sudah selesaikan perkara terbabit.

“Mereka sudah mempersiapkan pasukan yang baharu dan situasi terbabit membuatkan kita tidak boleh kata bahawa bermain di tempat sendiri adalah tiket untuk kita menang mudah kerana jika leka, lawan pasti menghukum kita,” katanya dalam sidang media praperlawanan Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 November 2019 @ 6:45 AM
Skip this ad x