TUKANG baiki bot mampu raih pendapatan RM70,000. FOTO Bernama
BERNAMA

KEBANYAKAN nelayan mungkin bingung kerana hilang punca pendapatan sepanjang musim tengkujuh, namun bagi segelintir daripada mereka pula mendapat ‘rahmat’ kerana kepandaian membaiki bot yang rosak.

Perubahan Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan dan laut bergelora memberi rezeki lumayan kepada Ismail Hussin, 50, yang mengambil upah membaiki bot nelayan sejak lebih 30 tahun lepas selepas mewarisi pekerjaan itu daripada arwah ayahnya, Hussin Yaacob.

Bapa kepada enam anak itu berkata, kebiasaannya nelayan mengambil peluang menghantar bot mereka yang rosak untuk dibaiki pada musim ini memandangkan mereka tidak turun ke laut sepanjang tempoh itu kerana khuatir dengan ombak besar.

“Saya mengenakan kadar upah antara RM10,000 dan boleh mencecah sehingga RM70,000 bergantung kepada kerosakan dan saya membaiki bot jenis A, B dan C,” katanya ketika ditemui pemberita di Teluk Buaya, Pantai Mek Mas di sini.


HASRUL membantu bapanya, Ismail mengambil upah menjahit pukat nelayan di Teluk Buaya, Pantai Mek Mas. FOTO Bernama

Ismail yang turut dibantu dua pekerjanya berkata, untuk membaiki sesebuah bot ia memerlukan kemahiran dan ketelitian yang tinggi dan bukannya satu pekerjaan yang mudah.

Beliau berkata, antara kerosakan yang berlaku kepada bot ialah lantai reput, dinding bot yang pecah kerana dihempas ombak selain membina anak rumah (dek) yang baharu.

“Sepanjang musim ini saya hanya mampu membaiki kira-kira dua bot saja kerana sebuah bot mengambil masa sekurang-kurangnya sebulan setengah bergantung kepada kerosakan yang dialami,” katanya.

Ismail berkata, bagi membaiki kerosakan bot beliau biasanya menggunakan kayu cengal dan seraya hitam berkualiti tinggi yang diperoleh daripada pembekal kayu di kawasan sekitar.

“Sangat penting menggunakan kayu berkualiti tinggi bagi mengelakkan sebarang risiko dan kejadian tidak diingini kepada nelayan seperti bot pecah dilanda ombak ketika berada di laut,” katanya.

Beliau turut melahirkan rasa syukur dengan kemahiran membaiki bot yang dimilikinya kerana dapat menampung perbelanjaannya sekeluarga apabila tidak dapat turun ke laut pada musim tengkujuh.


ISMAIL memeriksa bahagian bawah bot yang perlu dibaiki ketika ditemui di tebing Sungai Teluk Buaya, Pantai Mek Mas. FOTO Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 November 2019 @ 7:00 AM