HAEL dan Ezra
Oleh Rudy Imran Shamsudin


MALAM Anugerah Badan Pelindung Hak Cipta Malaysia (MACP) ke-30 baru-baru ini memperlihatkan penguasaan karyawan muda apabila mengungguli beberapa anugerah penting.

Hael Husaini bersama Ezra Kong memenangi kategori Lagu Melayu Persembahan Terbanyak menerusi lagu Jampi.

Jampi menewaskan dua lagi lagu iaitu Pejamkan Mata ciptaan Malique, Dedeq, Kelana dan Tripdisz dendangan Malique bersama Dayang Nurfaizah serta Yang Kucinta ciptaan Harry Khalifah dan Iman Imran dendangan Kristal.

Kieran Kuek dan Jee pula memenangi Lagu Inggeris Persembahan Terbanyak menerusi Young Hearts dendangan Nik Qistina menewaskan DJ Fuzz dan Eleena Haris menerusi lagu My Heart ciptaan Talitha Tan dengan Okey.

Hael ketika ditemui berkata, dia tidak menjangka lagu Jampi yang turut dinyanyikan mampu pergi jauh dan memenangi pelbagai anugerah.

“Segala usaha keras saya dan Ezra sangat berbaloi. Selama ini kami hanya mampu berangan-angan. Sekarang segala angan-angan itu menjadi kenyataan. Apa yang saya dan Ezra capai sekarang bermula dengan Jampi adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan pemikiran kami.


HABSAH

“Satu demi satu kejayaan kami raih dan sudah tentu saya dan Ezra sangat bangga,” katanya.

Menurut Hael, sepanjang 14 tahun pembabitannya dalam industri muzik, dia terharu apabila bakat dan karyanya kini diiktiraf.

Katanya, lagu Jampi adalah permulaan kepada segala-galanya membabitkan kerjaya nyanyian.

“Saya tidak pernah terbayang pun apa saya akan jadi dalam industri muzik terutama sebagai komposer yang meraih pelbagai anugerah. Ternyata lagu Jampi yang saya hasilkan bersama Ezra ini memberikan kenangan cukup manis dan ia menjadi pembakar semangat untuk saya terus berusaha dalam bidang penciptaan lagu,” katanya.

Penyanyi dan komposer popular, Haqiem Rusli pula diberikan anugerah Komposer Muda Berpotensi yang sebelum ini pernah dimenangi Akim Ahmad, Amir Jahari dan Najwa Latif.

Sepanjang pembabitannya sebagai komposer, Haqiem sudah menghasilkan 15 karya dan lagu pertama adalah Pesan nyanyian Irfan Haris.


HAQIEM terima anugerah Komposer Muda Berpotensi.

“Tidak dinafikan kemenangan ini sangat bermakna bagi saya. Kalau hendak diikutkan sekarang ini kita ada ramai komposer muda seusia saya yang tidak kurang berbakat. Terima kasih saya ucapkan kepada MACP atas pengiktirafan ini,” katanya.

Menurut Haqiem, ia secara tidak langsung menunjukkan anak muda sepertinya boleh melakukan kerja penerbitan lagu dengan baik dan diiktiraf penggiat industri muzik.

“Kemenangan ini juga saya kongsikan dengan semua komposer muda lain supaya boleh dijadikan pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya terbaik.

“Kemenangan ini juga cukup bermakna kepada saya. Saya dedikasikan anugerah ini kepada keluarga, syarikat rakaman dan peminat yang banyak menyokong kerjaya seni selama ini,” katanya.

Pada malam itu juga, komposer dan penyanyi berpengalaman, Datuk M Nasir memenangi anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak sekali gus menewaskan pesaing terdekatnya, Edry KRU serta Saari Amri.

Sementara itu, Habsah Hassan diumumkan Penulis Lirik Dengan Pendapatan Terbanyak menewaskan Allahyarham Abdul Jalil Salleh (Mama Juwie) dan Allahyarham Rosli Khamis (Loloq).

Habsah juga menerima anugerah Penghormatan Khas daripada MACP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 5:20 AM