LATIPAH menjaga dua cucunya Nurul Farah Safwanah dan Nurul Farah Safwani. FOTO Rosela Ismail
Amirul Haswendy Ashari


WALAUPUN hidup serba kekurangan, Latipah Mat Dom, 61, tetap bahagia di samping enam anak dan sembilan cucu.

Tiga daripada anaknya berserta tiga cucu menetap bersama Latipah dan suami, Mohd Daud Ibrahim, 59, di Flat PPR Kampung Muhibbah, Jalan Puchong di sini.

Tiga lagi anaknya sudah berkeluarga dan menjalani kehidupan masing-masing.

Namun peristiwa seminggu selepas sambutan Hari Raya Korban, Ogos lalu, meragut kebahagiaan Latipah selepas anak yang menjadi tempat bergantung hidup meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Dalam nahas itu, Nurfarahana Mohd Daud, 28, seorang ibu tunggal maut di tempat kejadian manakala dua anaknya, Nurul Farah Safwanah, berusia sembilan, dan Nurul Farah Safwani, berusia lapan tahun cedera.

Susulan nahas, Nurul Farah Safwanah patah paha dan koma sebulan manakala adiknya pula patah tangan.

“Arwah menunggang motosikal bersama dua anak dalam perjalanan pulang dari kampung di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Dalam perjalanan, arwah gagal mengawal motosikal lalu terjatuh. Arwah baru saja belajar buat kek batik sebab nak buat berniaga.

“Malah kek itu masih ada dalam raga motosikal sebab nak bawa balik ke rumah,” kata Latipah menangis teresak-esak.

Ketika hayatnya, Nurfarahana yang menjalankan tanggungjawab meringankan beban keluarga dengan melakukan berniaga kecil-kecilan antaranya menjual kuih, kek, dan aiskrim.

Menurut Latipah, sejak ketiadaan arwah, tanggungjawab menjaga cucu beralih di bahu dia dan suami.

Wanita ini disahkan menghidap masalah pundi kencing dan perlu memakai lampin pakai buang. Dia disahkan menghidap kencing manis dan darah tinggi serta bergantung kepada tongkat untuk berjalan.

Suaminya penerima bantuan Baitulmal RM350 sebulan dan menghidap angin pasang serta kencing manis.

Oleh kerana bebanan hutang sewa rumah dan bil air yang tertunggak mencecah ribuan ringgit, Mohd Daud terpaksa kembali bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Latipah berharap ada pihak sudi membantu menyelesaikan hutang sewa rumah selain bil air dan elektrik.

“Rasa sesak nafas fikirkan pasal hutang dan masa depan dua cucu ini. Kami tidak kisah dari segi makan minum sebab makan saja apa yang ada di rumah walaupun sekadar biskut kering,” katanya.

Tanpa berselindung, Latipah akui sebak memikirkan masa depan dua anak arwah yang masih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:15 AM