ISMAIL (dua dari kanan) bertengkar dengan Tajuddin (kiri) di lobi Parlimen sebelum berdamai. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Mohd Husni Mohd Noor


LOBI Parlimen kecoh apabila dua Ahli Parlimen Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said bertengkar mulut dan hampir bergaduh.

Insiden jam 12.50 tengah hari itu berlaku di hadapan puluhan pengamal media yang berada di lobi berkenaan.

Kejadian bermula apabila Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau dan Tajuddin (Pasir Salak) secara tiba-tiba mengeluarkan perlbagai perkataan cacian dan makian seperti ‘bodoh’, ‘bangang’ dan stupid antara satu sama lain.

Malah, kedua-dua mereka juga saling cabar-mencabar termasuk untuk bergaduh dan bertumbuk sebelum mereka dileraikan oleh pengawal keselamatan yang berada di lokasi kejadian.

“Kalau berani datanglah sini’,” kata Tajuddin sebelum dileraikan pengawal keselamatan.

Pengamal media yang ketika itu menemu bual Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong terpinga-pinga melihat insiden berkenaan.

Kekecohan dan siri bertikam lidah itu berlarutan di laluan ke Menara Parlimen, namun kedua-duanya dileraikan oleh anggota keselamatan Parlimen.


TAJUDDIN mencium pipi Ismail sebagai simbolik kedua-duanya berdamai. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno yang juga Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa turut menenangkan kedua-dua Ahli Parlimen itu, malah difahamkan membawa Ismail untuk bertemu dengan Tajuddin di Menara Parlimen.

Dalam kekalutan itu, Ismail sempat menjelaskan kepada pihak media bahawa beliau tidak berpuas hati dengan Tajuddin yang didakwa menularkan satu gambar rakannya menziarahi anaknya yang sakit.

Menurutnya, gambar itu dijadikan isu kononnya beliau buat satu pakatan menyokong seorang pemimpin yang lain.

“Gambar kawan saya ziarah anak saya dijadikan isu kata saya buat pakatan menyokong seorang pemimpin yang lain. Mana boleh, tak betul,” katanya.

Sejurus selepas itu, Tajuddin dilihat kembali ke lobi Parlimen, sebelum didekati pihak media yang mahu penjelasan mengenai insiden berkenaan.

“Ia hanya salah faham antara rakan. Ia sudah diselesaikan,” katanya.

“Ini isu rumah tangga, tak perlu diberitahu kepada orang,” katanya ketika diminta menjelaskan punca insiden itu.

Tinjauan mendapati, sekumpulan pengamal media yang dtemui mengakui terkejut dengan insiden itu dan ramai mengaitkan insiden itu dengan isu ‘pakatan’ sulit yang dicetuskan Timbalan Presiden PKR Datuk Mohamed Azmin Ali, pada malam Isnin lalu.

Difahamkan, Ismail antara individu yang hadir pada pertemuan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 6:45 AM