Suraya Roslan


“SAYA minta maaf kepada masyarakat dan minta keampunan kepada Allah SWT,” jelas seorang ‘pondan’ yang videonya membaca doa tular di laman sosial.

Lelaki terbabit, Mohd Fadhil Alhakim Othmawi, 25, mengakui seorang lelaki tulen dan tidak pernah menyokong transgender dan pemakaiannya pada hari itu semata-mata sebagai tuntutan dalam memenuhi pementasan teater.

“Dalam teater Psikogenik, saya menjayakan watak sebagai seorang bekas tenaga pengajar pusat tahfiz yang dimasukkan ke wad mental kerana tertekan dan menghidap penyakit ‘religious obsesive compulsive disorder’.

“Dalam watak itu, saya melakonkan watak sama iaitu menjadi perempuan kerana sejak kecil selalu bermain anak patung dan disolek arwah kakak, malah selalu didera ibu yang kemudian memaksanya ke pusat tahfiz.

“Saya mengakui ‘pondan’ dimaksudkan orang ramai adalah saya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mohd Fadhil yang juga penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kreatif (Kepujian) Teater, Fakulti Filem Teater dan Animasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Perdana berkata, dia sedar dirinya dikecam selepas video dirakam rakannya tular di laman sosial walaupun terdapat salah faham berhubung perkara itu.

MOHD Fadhil (kanan) selepas disolek menjadi seorang transgender untuk menyiapkan tesis sehingga menimbulkan kekeliruan netizan. FOTO IHSAN MOHD FADHIL ALHAKIM

“Sejak semester pertama lagi, saya memang selalu ditugaskan untuk memimpin bacaan doa sebelum pementasan atau aktiviti dilakukan fakulti.

“Psikogenik adalah projek tahun akhir ‘honour stage’ semester enam teater kumpulan saya sebagai memenuhi subjek tesis dan pementasan Psikogenik diadakan selama tiga hari bermula 15 November lalu di UiTM Puncak Perdana,” katanya.

Mohd Fadhil berkata, dia berterima kasih dan mengambil maklum semua nasihat diberi netizen dan secara peribadi mengakui Allah SWT melaknat lelaki menukar jantina.

“Malah saya akui matlamat tidak menghalalkan cara dan walau berlakon, saya kena jaga semua adab. Semua komen netizen saya ambil maklum dan terima dengan hati terbuka.

“Bagaimanapun, saya terfikir sekiranya saya seorang pondan dan membaca kecaman netizen di laman sosial, adakah saya tergerak hati untuk berubah? Pastinya jawapannya tidak dan menyebabkan golongan ini makin jauh daripada masyarakat,” katanya.

Akuinya, beberapa pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sudah mengambil keterangannya berhubung video tular berkenaan, semalam.

“Saya sudah diambil keterangan dan menjelaskan sebab sebenar kenapa saya memakai pakaian wanita,” katanya.

Sebelum ini, tular video berdurasi 30 saat seorang lelaki berpakaian wanita memimpin bacaan doa dan dikecam netizen yang mula mengaitkan soal agama dan hukum halal haram.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 November 2019 @ 9:00 PM