SYAFAAT bersama Odah yang memperoleh keputusan 6A dalam UPSR, semalam.
Amirul Haswendy Ashari


“ILMU cikgu bagi sebelum ini pun sudah cukup membuatkan saya gembira,” itu pendedahan guru, Syafaat Nasir, 28, dari sekolah rendah di Batu Kurau, Perak berkongsi kisah murid memperoleh keputusan 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan semalam.

Menerusi akaun Twitter @SyafaatNasir, guru itu berkongsi kisah murid cemerlang, Nadiatul Raudah Mohd Ismail, 12, menolak pemberian hadiah wang tunai daripada gurunya itu.

Perkongsian itu mendapat lebih 10,900 ulang kicau dan 25,300 tanda suka daripada warganet sejak semalam.

Syafaat ketika dihubungi Harian Metro, berkata ramai guru mahu memberikan murid yang mesra disapa Odah itu hadiah termasuk wang tunai atas kejayaannya itu, tetapi ditolak dengan baik.

“Dia sangat jujur ketika menolak pemberian kami. Saya terharu dan kagum apabila dia memberitahu ilmu diperoleh daripada guru sebelum ini sudah cukup membuatkan dia gembira.

“Jawapannya itu menunjukkan pemikiran dia sangat matang berbanding usianya yang baru 12 tahun. Jauh beza dengan pemikiran segelintir orang dewasa pada masa ini,” katanya.

Guru Matematik itu mengakui Odah bukan saja pandai, malah sangat menghormati guru selain tidak lekang dengan senyuman.

Menurutnya, Odah adalah murid yang bagus dan cemerlang daripada segi akademik, sahsiah dan aktif dalam sukan serta aktiviti kokurikulum lain.

“Walaupun hanya anak kampung, dia mendapat sokongan betul daripada ibu bapanya. Setiap pagi, ibunya yang juga suri rumah akan menemani Odah dan adiknya bersarapan.

“Malah, apa saja program disertai Odah, ibunya pasti akan datang beri sokongan. Tidak pernah ‘complaint’ pasal sekolah,” kata Syafaat yang juga guru disiplin.

Menurut Syafaat, anak kelima daripada enam beradik itu pernah menangis kerana berbelah bagi untuk menyertai dua pertandingan mewakili sekolah kerana tidak mahu mengecewakan guru.

“Peristiwa itu saya ingat sehingga sekarang apabila guru BM (Bahasa Melayu) memilih Odah untuk mewakili sekolah ke peringkat zon dalam pertandingan bercerita.

“Pada masa sama, dia terpilih mewakili sekolah ke pertandingan ‘soft-ball’ pada hari sama,” katanya.

Menurutnya, Odah meluahkan keinginan mahu menyertai pertandingan 'soft-ball', tetapi pada masa sama tidak mahu mengecewakan guru BM yang turut meletakkan harapan.

Katanya, pada hari pertandingan, kedua-dua pertandingan berlangsung di lokasi sama cuma pada waktu berbeza, sekali gus dia berpeluang memasuki kedua-dua pertandingan tanpa masalah.

“Dia memakai pakaian sukan ketika masuk pertandingan bercerita dan habis saja, terus ke pertandingan 'soft-ball’.

“Alhamdulillah, Odah akhirnya berjaya mengharumkan nama sekolah dalam kedua-dua pertandingan itu apabila menduduki tempat kedua,” katanya.

Syafaat berharap kisah Odah memberi inspirasi kepada keluarga B40 yang lain dalam membentuk anak mereka agar bukan saja cemerlang dalam akademik tetapi sahsiah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:19 PM