RESHA tidak kekok bersama rakan sebayanya yang beragama Islam manakala gambar kanan, Resha berada dalam kelas PASTI Ledang. FOTO IHSAN ISMAIL MOHAMED
Redzuan Muharam


“SAYA dan suami tidak kisah menghantar anak belajar di pusat asuhan ini asalkan dia dididik dengan baik,” kata ibu tiga anak, R Saranya.

Ibu muda berusia 26 tahun itu memberi reaksi demikian bagi mengulas mengenai foto anaknya, S Reshannya atau lebih mesra dengan panggilan Resha yang tular di laman sosial kerana belajar di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Azhar, Tangkak, Johor.

Gambar berkenaan dimuat naik Setiausaha PASTI Ledang, Ismail Mohamed di laman sosial Facebook miliknya, 15 November lalu.

Rata-rata warganet memuji kebolehan Resha membaca doa dan usaha Saranya menghantar anaknya berusia enam tahun ke pusat asuhan berteraskan pengajian Islam.

Bercerita lanjut, Saranya yang menetap di Bachang, Melaka, mengakui dia dan suami, B Sathiaraj, 26, sepakat mendaftarkan Resha di PASTI awal tahun ini kerana tertarik dengan cara didikan guru dan pergaulan murid di pusat asuhan berkenaan.

“Tahun lalu, Resha belajar di tadika lain tetapi saya dan suami mendapati perkembangannya agak perlahan, malah tidak fasih membaca ketika itu.

“Disebabkan ini, kami nekad menukar sekolah dengan mendaftar masuk ke PASTI walaupun tahu ia adalah pusat asuhan berteraskan pengajian Islam.

“Pengurusan pusat asuhan tiada halangan menerima Resha sebagai murid dan gurunya juga menjelaskan konsep pengajaran dan pembelajaran (P&P) di PASTI.

“Namun, saya dapat menerimanya dan langsung tidak kisah kerana hanya mahu Resha mendapat pendidikan awal dan dididik dengan betul,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Saranya, setakat ini, Resha tidak berdepan masalah menyesuaikan diri di pusat asuhan berkenaan, malah turut menerima maklum balas positif daripada guru mengenai prestasi anak sulungnya itu.

“Sebagai ibu, saya gembira dengan perkembangan ini terutama selepas melihat Resha mempraktikkan ilmu dipelajari di rumah.

“Buat masa ini, Resha menetap bersama neneknya tetapi saya dan suami akan melawatnya setiap hujung minggu atau cuti sekolah.

“Walaupun tinggal berjauhan, saya sering bertanya dengan guru mengenai perkembangan Resha dan dimaklumkan dia (Resha) rajin serta berani menjawab soalan ketika dalam kelas.

“Resha juga sudah tahu membaca dan turut menghafal doa makan, jadi perkembangan ini membuatkan saya dan suami senang hati,” katanya.

Sementara itu, Ismail berkata, tujuannya berkongsi kisah Resha di Facebook, Jumaat lalu, kerana kagum dengan kebolehan kanak-kanak itu membaca doa dan bergaul dengan murid lain walaupun berbeza agama.

“Gambar dimuat naik di Facebook diambil ketika saya bertemu Resha ketika Anugerah Kecemerlangan PASTI Ledang.

“Pada pandangan saya, Resha seorang kanak-kanak istimewa kerana bijak menyesuaikan diri walaupun menjadi satu-satunya murid bukan Islam di situ (PASTI).

“Malah, kesudian ibu bapanya menghantar Resha belajar di PASTI juga wajar diberi pujian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 10:00 PM