MOHAMMAD Syafiizwan ketika temu bual di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Faiz Anuar
Nur Lela Zulkipli


DIA mungkin tidak berpeluang merasai nikmat pancaindera untuk melihat, namun itu bukan penghalang baginya untuk mencapai cita-cita menjadi bilal dan pendakwah, sekali gus membuktikan golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya layak diberi peluang sama rata.

Mohammad Syafiizwan Mohd Suhaini berjaya membuktikan pada usia 19 tahun kini bukan saja bergelar bilal OKU pertama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (MSSAAS), malah antara OKU termuda yang menerima tauliah motivasi daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Tanggal 1 Ogos 2019 adalah tarikh tidak mungkin dapat dilupakan Mohammad Syafiizwan apabila cita-citanya untuk menjadi bilal di MSSAAS akhirnya tercapai apabila imam besar masjid berkenaan, Muhammad Farhan Wijaya melihat kelebihan yang dimiliki lelaki OKU berkenaan.

Menurut Mohammad Syafiizwan, dia melalui harinya seperti biasa apabila menghadiri Akademi Muazzin di MSSAAS secara mingguan sehinggalah dia dimaklumkan bahawa imam besar berminat untuk berjumpanya.


MOHAMMAD Syafiizwan (kiri) ditemani bapa, Mohd Suhaini di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. FOTO Faiz Anuar

“Saya hadir ke masjid untuk memantapkan lagi ilmu al-Quran saya, namun semuanya berubah apabila imam besar ingin berjumpa saya.

“Ketika itu saya tidak tahu menahu yang beliau ingin menguji bacaan dan taranum saya namun sebaik berjumpa dengannya dia ingin mendengar saya melaungkan azan dan membaca surah lazim.

“Tanpa diduga, perjalanan hidup yang Allah tetapkan untuk saya sangat hebat apabila imam memaklumkan dia ingin melantik saya sebagai salah seorang daripada bilal masjid ini,” katanya kepada Harian Metro di sini.

Tidak berfikir panjang, Mohammad Syafiizwan terus menerima tawaran itu biarpun jauh di lubuk hatinya agak bimbang penerimaan jemaah masjid akan keadaannya yang tidak sempurna.

“Selama saya menuntut ilmu pun, saya sering dipandang rendah daripada orang normal, apatah lagi jika saya menjadi bilal mereka.

“Namun, saya kuatkan dalam hati untuk teruskan cita-cita saya menjadi bilal.

“Saya fikir mungkin mereka tidak pernah berada di tempat saya, jadi mereka boleh berkata apa saja. Sekiranya saya mengaku kalah sekarang, ia akan mendatangkan imej buruk kepada golongan OKU di mata masyarakat,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu

Mohammad Syafiizwan yang pernah menjuarai Tilawah Al-Quran Braille Kebangsaan 2017 berkata, dia tidak menyangka untuk sampai ke tahap itu, sekali gus meletakkan kedudukannya sebaris dengan mereka yang turut dilantik sebagai bilal di masjid terkemuka itu.

“Saya tidak berniat untuk mengambil tempat sesiapa pun di masjid ini, namun saya anggap rezeki yang Allah beri ini sebagai jalan untuk saya berdakwah dengan lebih mudah bukan saja kepada OKU, tetapi juga orang biasa.

“Kejayaan ini juga bukan milik saya seorang. Ayah saya yang selama ini menjadi pemimpin saya tidak mengeluh penat dan sehingga kini dia masih setia bersama saya setiap kali bertugas di masjid,” katanya.

Mohammad Syafiizwan yang pernah bersekolah di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru akhirnya menamatkan pengajian tahfiz di Maahad Tahfiz Darul Madad, Muar, Johor.

“Saya tidak mahu pengajian tahfiz saya hanya terhenti begitu saja. Jadi, saya buat keputusan untuk memohon pentauliahan daripada Jais.

“Syukur Alhamdulillah pada 2 Oktober lalu saya diberi tauliah untuk bebas memberi motivasi kepada orang ramai khususnya di institusi pendidikan dan majlis ilmu,” katanya.

Katanya lagi, biarpun dia menerima banyak undangan motivasi daripada pelbagai institut pendidikan dan sebagainya, dia tetap meletakkan tanggungjawab utamanya sebagai bilal.


OKU cacat penglihatan orang pertama bergelar bilal MSSAAS. FOTO Faiz Anuar

“Imam besar pernah beritahu saya jika dia sudah pergi (meninggal dunia) jangan sesekali tinggalkan masjid ini selagi diperlukan.

“Kata-kata itu amat membuatkan saya tersentak seolah-olah saya mempunyai tanggungjawab yang lebih besar kini.

“Tidak dinafikan terdapat ramai lagi pendakwah yang lebih berkaliber, namun saya mahu buktikan mata yang buta ini tidak terkecuali untuk memberi bermanfaat kepada agama dan negara,” katanya.

Mohammad Syafiizwan berkata, minatnya dalam bidang al-Quran bermula sejak beliau berumur dua tahun apabila ibu dan ayahnya sering memainkan kaset bacaan al-Quran di rumah.

“Saya tidak boleh melihat, tetapi saya boleh mendengar dengan cukup jelas. Saya mendengar dan Alhamdulillah Allah beri saya ingatan yang kuat.

“Saya mudah tangkap ayat yang didengar berserta tajwidnya sekali. Saya juga akan praktik semula dengan guru untuk semakin lancar,” katanya.

Katanya lagi, dia reda sekiranya kekurangannya dianggap sebagai pemangkin semangat kepada orang lain untuk membuka hati menerima dan mengamalkan ilmu Allah.

“Hanya disebabkan saya buta, bukan bermakna saya boleh duduk saja dan mengharapkan bantuan serta simpati. Saya mahu buang tanggapan orang ramai terhadap si buta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 6:15 AM