SERAMAI 680 warga China disyaki terbabit penipuan pelaburan wang dalam talian ditahan tidak miliki dokumen perjalanan sah. FOTO Luqman Hakim Zubir
Amir Abd Hamid dan Mohd Firdaus Ibrahim


DASAR pelancongan negara yang membenarkan kemasukan pelancong luar terutamanya warga China tanpa visa ke negara ini antara punca kenapa Malaysia dipilih menjadi pangkalan sindiket penipuan pelaburan tukaran mata wang asing atau Forex.

Sumber memberitahu Harian Metro, kerajaan Malaysia menyediakan kemudahan kemasukan pelancong tanpa visa bertujuan untuk menarik jumlah pelancong ke negara ini.

“Dasar pelancongan ini dimanipulasi sindiket. Bagi menggalakkan kemasukan (pelancong), kerajaan juga mengarahkan pihak berkuasa yang menjaga pintu masuk utama negara supaya mempercepatkan proses pemeriksaan pelancong (di lapangan terbang).

“Ini memang tarikan utama sindiket untuk masuk ke Malaysia dan punca kepada mereka (ahli sindiket) lolos.

“Keduanya, pembabitan orang dalam juga antara faktor memudahkan kemasukan mereka. Dasar dah mudah, ada kaki lagilah mudah mereka masuk. Warga China memang masuk ke sini (Malaysia) guna Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI). Ia (eNTRI) pernah jadi isu satu masa dulu, tetapi kemudahan ini masih diteruskan,” katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tidak pernah mengesan kemasukan warga China melalui lorong tikus mahupun laluan laut.

“Mereka masuk sebagai pelancong ke Malaysia melalui udara. Jadi kenapa lolos? Tanyalah pada mereka yang bertugas di sana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sumber itu berkata, ketua sindiket adalah warga Malaysia yang mempunyai hubungan dengan warga China dalam menjalankan kegiatan haram berkenaan.

“Ini antara tarikan kedua kenapa pilih Malaysia. 680 warga China yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hanyalah pengendali yang direkrut dan bukannya dalang.


MUKA depan Harian Metro 22 November 2019.

“Ada antara mereka sebenarnya dijanjikan kerja lain termasuk melancong ke Malaysia namun dipaksa untuk menipu rakan senegara di tanah air (China) sebaik tiba di Malaysia. Pengendali sistem pelaburan itu datang ke negara ini dengan jemputan warga kita (tempatan). Ini (jemputan) membabitkan individu tertentu yang dipercayai dilindungi pihak berkuasa dan ahli perniagaan,” katanya turut memberitahu, sindiket itu menyediakan cut off yang mana setiap lapisan organisasi tidak mengenali antara satu dan lain.

Katanya, sebab kedua kenapa mereka menjadikan Malaysia sebagai pangkalan penipuan kerana kerajaan China memang serius memerangi gejala ini.

“Jadi, mereka datang Malaysia. Rakyat Malaysia pula tidak suka mencampuri urusan orang lain, itu antara sebab mereka ke negara ini. Persamaan budaya rakyat China dan Malaysia yang berbilang kaum juga antara faktor penarik mereka ke sini,” katanya.

Untuk rekod, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman tahun lalu pernah membeku dan menyita hampir RM20 juta berkaitan penipuan yang menyasarkan warga asing. Dua pengendali penipuan itu kini dibuang daerah di Baling, Kedah dan Kelantan.

Diminta memperincikan organisasi sindiket penipuan itu, sumber itu berkata, warga tempatan dibantu rakannya di China (warga China) untuk merekrut pengendali sebelum dibawa ke Malaysia.

“Hierarki kedua, adalah akauntan. Ia berperanan untuk sediakan akaun bank China. Selalunya, akaun bank ini diwujudkan dengan merekrut keldai akaun.

“Sebelum pengendali dari China datang (Malaysia), bahagian teknikal akan menyediakan premis seperti kondominium dan peralatan tertentu seperti telefon bimbit, Internet dan sebagainya. Premis itu bukan saja dijadikan tempat tinggal, sebaliknya juga tempat atau sarang operasi haram mereka.

“Pengendali akan menghubungi rakan senegara mereka di China sebelum menawarkan pelaburan itu. Mereka akan memberikan akaun bank kepada pelanggan yang termakan pujukan pengendali. Kebanyakan pengendali dilatih atau disediakan dengan skrip tertentu untuk meyakinkan mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 6:30 AM