LAPORAN portal berita Harian Metro, hari ini mengenai mangsa ditikam rakan sekerja meninggal dunia di ICU HPP selepas lima hari dirawat.
Hadzlihady Hassan


“SEBAGAI bapa, memang berat untuk saya maafkan orang sanggup menikam anak hingga dia meninggal dunia.

“Namun, segalanya kini saya serahkan kepada pihak berkuasa dan harap hukuman setimpal dikenakan terhadap lelaki yang menikam anak saya itu,” kata Omar Ibrahim, 58, hari ini.

Omar adalah bapa kepada Aidil Azran, 24, yang maut selepas ditikam rakan sekerja di Taman Syhmphony Garden, Balik Pulau, Selasa lalu.

Omar yang juga pesara kerajaan berkata, dia reda dengan pemergian anak bongsu daripada tiga beradik itu, namun kesal dengan cara kematian anaknya.

“Saya difahamkan arwah anak ditikam hanya kerana dia dikatakan kerap datang lewat di tempat kerja.

“Mungkin perkara ini boleh dibawa bincang bersama pihak syarikat, namun rakannya mengambil tindakan sendiri sehingga mengorbankan nyawa anak saya,” katanya yang ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) di Georgetown, hari ini.

Menurutnya, dia sedia maklum yang arwah ada beberapa kali datang lewat ke tempat kerja, namun anaknya itu akan menyambung kerjanya sehingga malam.

“Malah, pihak syarikat sendiri mengetahui sekiranya arwah datang lambat, namun ini mungkin tidak disenangi rakannya itu yang juga penyelia tempat mereka bekerja.

“Anak saya baru setahun bekerja, malah saya mengenali rakan yang menikamnya itu walaupun tidak terlalu rapat,” katanya.

Dalam kejadian Selasa lalu, Aidil Azran parah selepas ditikam rakan sekerja dan dia yang kritikal dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HPP, namun disahkan meninggal dunia pada 11.15 pagi hari ini selepas lima hari menerima rawatan.

Omar berkata, Aidil Azran sepatutnya akan berkahwin dengan gadis pilihan dari Jogjakarta, Indonesia pada April tahun hadapan.

“Memang kami sekeluarga sudah membuat persiapan untuk ke Jogja April depan bagi melangsungkan perkahwinan anak dengan gadis pilihannya dan mereka sudah mengikat tali pertunangan.

“Namun, semua rancangan diatur musnah dan kami sekeluarga reda serta terima ketentuan Allah SWT,” katanya.

Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Bagan Air Hitam, Jalan Baru, Balik Pulau, malam ini.

Berita berkaitan

'Pergi' selepas lima hari ditikam

'Mangsa tikam selamat dibedah'

'Lelaki tikam rakan dah kena tahan'

'Tikam rakan lewat masuk kerja'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 November 2019 @ 5:13 PM