SCHA Alyahya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SCHA Alyahya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin

BERTAHAN dalam kerjaya seni lebih sedekad bukan sesuatu yang mudah.

Apatah lagi, kini platform media sosial amat berpengaruh.

Bagi selebriti terkenal Scha Alyahya, 36, dia sudah lali dengan lumrah dunia glamor berikutan masa dan pengalaman banyak mengajar.

Seperti selebriti popular lain, Scha, tidak terlepas dibelenggu kontroversi.

Namun, si cantik ini memilih untuk melalui setiap dugaan itu dengan tenang.

“Manusia biasa mana yang tidak pernah buat silap?

“Cuma, kita kenalah bijak menghadapinya dan paling penting sentiasa positif.

“Saya banyak belajar daripada pengalaman.

“Buat pelapis, beringatlah sebelum buat sesuatu.

“Pilihan sentiasa ada. Jadi, ambil masa fikir baik buruk sebelum buat pilihan dan jangan malu bertanya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahdzir Alyahya itu pernah dinobatkan juara Dewi Remaja pada 2006 dan kini adalah juri tetap program Dewi Remaja 2019.

Menurutnya, biarpun realiti kehidupan selebriti mudah terpalit dengan kontroversi, usah segan merujuk artis senior atau berbincang bersama ibu bapa.

“Jika diri dilanda kontroversi, hadapi dengan tenang dan jangan cepat melatah. Cuba ambil positif walaupun sukar.

“Jika masih lagi terhindar daripada kontroversi, kena bijak buat pilihan.

“Semuanya bergantung kepada diri sendiri,” katanya.

Ujar Scha, penting bagi selebriti mengawal emosi kerana jika terlalu ikutkan perasaan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

“Kena bijak menghadapi apa saja situasi. Apa yang saya praktikkan, jangan terus buat orang tak suka dengan kita.

“Orang memang mahu kita sentiasa nampak sempurna walaupun hakikatnya tiada manusia yang sempurna,” katanya.

Ujarnya, tidak perlu bimbang dan jangan biarkan diri tertekan dengan apa yang diperkatakan orang.

Scha yang terkenal dalam bidang lakonan, pengacaraan, peragaan dan dilabel sebagai ikon fesyen selebriti mendirikan rumah tangga dengan Awal Ashaari pada 4 Mei 2012.

Pasangan romantik itu dikurniakan zuriat perempuan diberi nama Lara Alana yang kini berusia enam tahun.

SCHA Alyahya bijak menghadapi pelbagai dugaan, sentiasa positif. FOTO Mahzir Mat Isa
SCHA Alyahya bijak menghadapi pelbagai dugaan, sentiasa positif. FOTO Mahzir Mat Isa

Bintangi super telefilem

Biarpun kerjaya Scha sebagai pelakon tidak serancak dulu, aura wanita berbakat besar ini tidak pernah hilang.

Memilih watak sesuai, Scha yang masih tebal kecintaannya terhadap dunia lakonan bersyukur kerana terbabit dalam beberapa karya menarik sepanjang tahun ini.

“Biarpun saya nampak aktif mengacara dan menjadi juri program TV, tawaran berlakon tidak pernah putus.

“Terbaharu, saya akan menjayakan super telefilem garapan pengarah terkenal Michael Ang.

“Kali ini saya dapat watak sangat mencabar dan belum pernah dilakonkan iaitu perempuan murahan tinggal di kawasan setinggan serta menjaga bayi yang ditemuinya,” kata Scha.

Jelasnya, dia yakin ramai akan jatuh cinta dengan karya aksi komedi itu kerana ia bukan sekadar hiburan tetapi menyelitkan mesej positif yang boleh dijadikan iktibar bersama.

Selain itu, Scha juga bakal membintangi filem aksi yang memaparkan kisah tentera udara.

Filem itu membariskan ramai pelakon popular termasuk Aiman Hakim Ridza, Fezrul Khan dan Nas-T.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:00 AM