NAHAS lima kenderaan yang mengakibatkan penunggan motosikal berkuasa tinggi maut. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi maut, manakala seorang bayi dan kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 234.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Pedas Linggi dekat Rembau, awal pagi hari ini.

Kejadian 1.10 pagi itu membabitkan motosikal Kawasaki Ninja, sebuah kereta Proton Wira, dua pacuan empat roda dan sebuah van.

Mangsa yang maut ialah Muhammad Afiffuddin Ahmad, 22, berasal dari Merlimau, Melaka, manakala penumpang proton Wira iaitu Muhammad Khuzaifah Mohammad Nabil, 2, dan adiknya Khadijah berusia setahun cedera.

NAHAS lima kenderaan yang mengakibatkan penunggan motosikal berkuasa tinggi maut. FOTO Ihsan Pembaca

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, siasatan awal mendapati motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum bergesel dengan pacuan empat roda Toyota Hilux yang berada di lorong tengah.

“Akibat perlanggaran itu, sebuah Ford Ranger yang mengekori Toyota Hilux dari arah belakang cuba mengelak dan terlanggar mangsa.

“Manakala pemandu Proton Wira yang berada di lorong kanan semasa kejadian cuba mengelak dan hilang kawalan serta terlanggar bahagian belakang sebuah van” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Anuar Bakri berkata, kemalangan itu mengakibatkan penunggang meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat.

“Dua penumpang kereta yang mengalami kecederaan ringan menerima rawatan di Hospital Alor Gajah, Melaka, manakala lain-lain mangsa tidak cedera,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Disember 2019 @ 11:04 AM