ANTARA gelandangan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman yang mendapatkan sumbangan makanan.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik


BUKANLAH suasana pesta keraian atau karnival hujung minggu! Tetapi, inilah realiti pahit apabila golongan gelandangan di ibu kota meningkat hampir tiga kali ganda berbanding dua tahun lalu.

Pertambahan mendadak golongan gelandangan itu diakui sendiri kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) yang kerap ‘turun padang’ serta memberi sumbangan kepada golongan tidak berkemampuan ini.

Rumusan itu diperoleh berdasarkan peningkatan jumlah pek makanan, kit kebersihan dan barangan

ain diedarkan kepada golongan terbabit yang dilakukan saban minggu.

Malah, golongan gelandangan veteran ditemui wartawan turut mengakui angka golongan gelandangan yang menghuni ibu kota kini mencecah ribuan individu terutama boleh dilihat pada malam minggu.

Terbaru tinjauan dilakukan wartawan sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, sejak minggu lalu, mendapati jumlah gelandangan membabitkan warga emas, wanita dan kanak-kanak jelas bertambah berbanding beberapa siri tinjauan sama dilakukan sejak tiga tahun lalu.

Jika sebelum ini, hanya ada sekitar 15 hingga 20 gelandangan berpeleseran sekitar lokasi bersebelahan hotel di persimpangan Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Sultan Ismail di sini, namun jumlahnya kini menjangkau hampir 100 individu.

Malah, ketika munculnya beberapa sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) mengagihkan makanan, jelas kelihatan beratus lagi gelandangan muncul dari arah Chow Kit dan Jalan Medan Tuanku di sini, untuk mendapatkan bantuan.

Situasi ini sekali gus mengundang tanda tanya berhubung jumlah sebenar gelandangan di ibu kota yang didapati kian ramai hingga mengundang imej tidak sihat kepada negara amnya.

Malah, tinjauan mendapati golongan ini tidak hanya memenuhi lokasi sekitar Chow Kit, bawah jambatan Jalan Sultan Sulaiman dan Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, malah mereka turut ‘melarat’ hingga ke Masjid negara, Jalan Pudu dan sekitar Bangkok Bank.

Seorang gelandangan senior, Khalid M. Osman, 56, berkata, jumlah gelandangan yang menghuni ibu kota kian bertambah hingga berlaku perebutan kawasan dan tempat tidur.

Menurutnya, kebanyakan gelandangan kini adalah wajah bercampur antara rakyat tempatan, pendatang asing yang menyamar sebagai warga tempatan termasuk pelarian Pesuruhjaya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR).

“Mereka inilah yang meramaikan bilangan gelandangan termasuk golongan miskin bandar yang mendiami rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR). Mereka mungkin ada rumah dan pekerjaan, namun jumlah pendapatan terlalu sedikit menyebabkan mereka juga hidup melarat.

“Ada antara mereka yang datang pada hari tertentu menaiki motosikal untuk beratur dan mengambil makanan percuma. Jumlah mereka ramai dan saya kenal muka mereka ini...mereka tidak tidur di kaki lima seperti kami,” katanya yang pernah menghuni Penjara Taiping, Perak, selama 10 tahun.

Seorang lagi gelandangan, Zainuddin Samah, 45, berkata, kebanjiran gelandangan di ibu kota berpunca masalah ekonomi dan kos sara hidup yang meningkat.

“Saya lihat ramai belia yang bekerja, golongan buruh dan warga asing turut menagih bantuan sama yang dikhususkan untuk gelandangan. Malah, ramai yang mencari pekerjaan di bandar menemui jalan buntu sebelum menjadi gelandangan,” katanya.

Dia mengakui kewujudan Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang, Pusat Transit Gelandangan Medan Tuanku dan Anjung Singgah Kuala Lumpur tidak mampu untuk memuatkan jumlah besar gelandangan yang semakin bertambah.

Miskin bandar tumpang sekaki

BUKAN hanya gelandangan, malah beratus golongan miskin bandar juga tumpang sekaki mengambil makanan yang diedarkan badan bukan kerajaan (NGO) di jalanan.

Ini antara punca berlaku peningkatan mendadak golongan penerima bantuan disalurkan NGO kepada golongan sasar sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Perkara itu diakui Pengasas Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project), Mohd Ashraf Khan Md Najib yang berpengalaman enam tahun menyantuni golongan itu.

“Gelandangan biasanya silih berganti datang dan pergi. Realitinya kini golongan miskin bandar yang terdesak hidup tidak terkecuali mengambil makanan di jalanan bersama kelompok gelandangan.

“Bagaimanapun, hakikatnya dua golongan ini tetap berbeza kerana miskin bandar masih ada rumah, pakaian dan mungkin pekerjaan, tetapi gelandangan tiada apa-apa,” katanya.

Selari dengan kempen Say No To Food Wasted yang dijalankan sejak dua tahun lalu, Ashraf berkata, pihaknya lebih fokus kepada pengedaran kit kebersihan dan penjagaan diri serta air mineral.

“Kami pilih tidak edar makanan untuk mengelak pembaziran kerana sudah ada NGO yang konsisten memberi makanan di tempat khas seperti di Medan Tuanku, Pusat Transit Gelandangan dan Anjung Singgah.

“Bagi kami, cara ini lebih berkesan kerana selain untuk kegunaan membersihkan diri, barang bantuan itu boleh simpan lama,” katanya.

Kebiasaannya menurut Ashraf, mereka akan mengedarkan kit kebersihan dan penjagaan diri serta air mineral itu di lima kawasan popular sekitar ibu negara yang menjadi tumpuan golongan berkenaan.

“Antara kawasan edaran kita adalah Masjid Negara, Segi College Kuala Lumpur, Pudu, Bangkok Bank Kuala Lumpur dan Chow Kit di sini.

“Untuk jangka panjang, kami sentiasa memberi sokongan kepada pusat transit dan Anjung Singgah seperti bantuan keperluan asas makanan, kit kebersihan dan penjagaan diri, mencari pekerjaan untuk penghuni serta merujuk kes di luar bidang kuasa kepada agensi kerajaan berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, mereka mengalu-alukan individu mahupun kumpulan yang mahu melaksanakan projek untuk golongan gelandangan supaya merujuk pihak bertauliah termasuk NGO bagi mendapatkan khidmat nasihat dan panduan.

“Jika ada individu atau kumpulan atau pelajar universiti mahu buat projek bantu gelandangan, mereka boleh berjumpa kami untuk nasihat berkaitan keperluan golongan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Disember 2019 @ 10:00 AM