SKUAD B-22 negara menjalani latihan dalam hujan di Stadium Memorial Rizal semalam. FOTO facebook FAM
Firdaus Hashim


PENGENDALI skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee tidak peduli dengan apa yang ingin dilakukan Filipina dalam satu lagi aksi petang ini kerana misinya tetap sama mahu meraih kemenangan ke atas Kemboja untuk layak ke separuh akhir Sukan Sea 2019.

Pertemuan dengan skuad Angkor Warriors di Stadium Memorial Rizal bagi saingan Kumpulan A itu sangat penting buat mencuri satu lagi tiket ke pusingan kalah mati, selepas Myanmar mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan dengan mengutip 10 mata hasil empat aksi.

Manakala, tiga lagi pasukan iaitu Malaysia, Kemboja dan tuan rumah terikat masing-masing empat mata dan aksi terakhir kumpulan bakal menentukan hala tuju pasukan berkenaan pada edisi ke-30 ini.

Selain skuad negara yang akan menentang Kemboja, skuad Junior Azkal dijadualkan bertemu Timor Leste di Stadium Binan yang akan dilangsungkan serentak pada jam 4 petang.

“Jangan fikirkan pasal satu lagi aksi (Filipina), apabila terlalu fikirkan soal itu ia akan mengganggu fokus untuk ke peringkat seterusnya.

“Apa yang paling penting adalah memikirkan kemenangan (ke atas Kemboja). Kita mungkin takkan dapat tahu apa yang berlaku antara Filipina dengan Timor Leste, ia mungkin tuan rumah boleh dapat satu, dua atau tiga (gol).

“Jadi yang paling mustahak bagi kita adalah fikirkan kemenangan dan sekiranya dapat banyak gol lagi baik. Macam saya katakan, kemenangan adalah lebih penting ketika ini,” katanya.

Skuad negara yang hadir dengan status pemenang pingat perak dua tahun lalu bermula agak perlahan dalam dua aksi kumpulan apabila terikat 1-1 dengan Myanmar sebelum tumbang 0-1 di tangan Filipina.

Bagaimanapun, anak buah Kim Swee bangkit pada aksi ketiga mencatat kemenangan pertama menewaskan Timor Leste 4-0 dan kutipan tiga mata perlu dicari dalam perlawanan terakhir sambil cuba mengelak daripada dibolosi bagi mengenepikan dua pesaing lain.

Berdasarkan format pertandingan, sekiranya mata masih terikat perbezaan gol akan diambil kira untuk mara ke separuh akhir.

Dalam perkembangan sama, Kim Swee pasti lega kerana semua pemainnya bebas daripada kecederaan, namun perlu mencari formula terbaik untuk memantapkan permainan selepas bergelut dalam perlawanan sebelum ini.

“Pendekatan kita sering bertukar dan apabila bertemu Kemboja pendekatan lain akan digunakan. Pada aksi dengan Timor Leste, kita berjaya mendapatkan (empat) gol dan harap rentak sama dikekalkan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Disember 2019 @ 6:15 AM